23
Sel, Mei
720 ARTIKEL BARU

Ambil Iktibar Krisis UMNO Terdahulu

Kolumnis 2
Typography

Keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO untuk menangguhkan pemilihan tahun depan sepatutnya disambut secara positif oleh pemimpin dan ahli parti.

Pertama, ia tidak bercanggah dengan perlembagaan UMNO. Kedua, penangguhan itu pernah dibuat oleh pemimpin terdahulu termasuk di era pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Oleh itu keputusan menangguhkan pemilihan UMNO 2016 selama 18 bulan bukanlah keputusan yang luar biasa atau pelik pada era Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi presiden.

Jika ada alasan para pengkritik bahawa UMNO tidak lagi mengamalkan demokrasi (kerana menangguhkan pemilihan berkenaan) ia tidak sewajarnya diberi perhatian.

Penangguhan itu sebenarnya akan memberikan masa yang lebih lama kepada pemimpin peringkat cawangan, bahagian, negeri dan MT untuk membuktikan kemampuan mereka dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab.

Alasan penangguhan itu bagi membolehkan pemimpin dan ahli memperkukuh parti sementara kerajaan memberi tumpuan kepada pembangunan serta kesejahteraan rakyat tanpa “gangguan” kempen-kempen pemilihan.

Parti yang memerintah di mana negara sekalipun mempunyai kaedah untuk memperkasakan parti terlebih dahulu sebelum menghadapi pilihan raya.

Kekuatan UMNO sudah pasti akan terjejas kesan daripada perebutan jawatan baik di peringkat cawangan, bahagian dan MT. Hakikat itu tidak dapat dinafikan kerana dalam pemilihan 1987, perpecahan ketara berlaku apabila Dr. Mahathir dicabar oleh Tengku Razaleigh Hamzah bagi merebut jawatan nombor satu.

Perebutan jawatan nombor dua antara Tan Sri Musa Hitam dan Tengku Razaleigh pada pemilihan sebelum itu juga sedikit sebanyak menjurus kepada perpecahan di kalangan penyokong.

Paling menyedihkan rentetan daripada pertandingan pada 1987 menyebabkan UMNO diheret ke mahkamah dan diharamkan. Parti keramat yang menjadi naungan orang Melayu sebelum merdeka itu terpaksa dipulih dan dikemaskan semula.

Ketika krisis itu Tun Ghafar Baba yang juga Timbalan Presiden parti diutus untuk membantu menubuhkan UMNO di Sabah.

Tengku Razaleigh yang gagal dalam pemilihan kemudian mengasaskan Parti Melayu Semangat 46 (S46) pada 1989 dan mengambil keputusan drastik bergabung dengan PAS dengan (menubuhkan gagasan Angkatan Perpaduan Umma (APU). Gabungan itu juga bekerjasama dengan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang dipimpin Ketua Menteri Sabah, Datuk Pairin Kitingan untuk menggulingkan BN di saat akhir PRU-8 pada 1990.

Pilihan raya umum itu menyaksikan Kelantan yang sebelum itu dikuasai BN tumbang kepada PAS sementara Sabah dikuasai PBS. BN hanya menguasai 127 daripada 180 kerusi Parlimen.

Beberapa pemimpin UMNO termasuk menteri Kabinet daripada Team B menyertai parti serpihan UMNO itu. Namun S46 hanya mampu bertahan selama 8 tahun. Setelah kalah dalam PRU-9, parti itu dibubarkan pada 1996 dan ramai pemimpin termasuk Tengku Razaleigh kembali ke pangkuan UMNO.

Sebelum itu, Tun Mahathir yang menang tipis pada pemilihan 1987 juga amat bernasib baik kerana mendapat dokongan daripada Pemangku Ketua Pergerakan Pemuda, Datuk Seri Najib Tun Razak. Sementara Tun Abdulah Ahmad Badawi yang dilihat menyokong Tengku Razaleigh sebelum itu juga akhirnya kembali bergandingan dengan Dr. Mahathir.

Kini, ketika kerajaan Barisan Nasional diasak oleh pembangkang dan diburukkan lagi dengan serangan peribadi bertali-arus oleh Dr. Mahathir terhadap Perdana Menteri, agak sukar bagi BN untuk berdepan PRU-14. Krisis yang melanda MIC juga memberi kesan jika tidak ditanggani lebih awal.

Maka jalan terbaik ialah penangguhan pemilihan UMNO bagi memperkukuhkan parti dan merungkai segala isu yang berbangkit. Ia bagi meyakinkan majoriti rakyat bahawa BN masih kukuh untuk meneruskan pemerintahan.

Gabungan parti pembangkang PAS – DAP – PKR yang telah pun ” berkubur” kini bukan lagi pilihan atau alternatif untuk menggantikan BN. Penyokongnya juga berpecah akibat pemilihan dan hilang keyakinan kepada pemimpin.

Tidak ada gunanya menang dalam pemilihan UMNO tetapi kalah dalam PRU. Itu ingatan yang sering diucapkan oleh Dr. Mahathir sepanjang 22 tahun beliau menjadi presiden dan Perdana Menteri.

Kegagalan BN mempertahankan Kedah, Selangor, Terengganu dan Perak yang masing-masing diterajui UMNO pada PRU 2008 seharusnya tidak lagi menjadi igauan buruk bagi ahli UMNO.

Walaupun ada yang tidak gembira dengan penangguhan pemilihan tahun depan, keputusan MT harus diterima dengan fikiran yang positif.