12
Sel, Dis
913 ARTIKEL BARU

Kecelaruan Laporan Media Asing Cetus Gelora Politik Dahsyat?

Kolumnis 2
Typography

KITA perlu berhati-hati kerana media asing sememangnya ada agenda tertentu untuk merosakkan imej dan kredibiliti politik kepimpinan negara.

Dengan komen diketengahkan tanpa bukti-bukti konkrit, sesuatu laporan itu tidak mustahil boleh menjejaskan ekonomi negara.

Apa lagi jika sesuatu isu yang menyentuh sensitiviti dikaitkan dengan ekonomi sekali gus menggugat kuasa kepimpinan kerajaan.

Dalam konteks isu 1MDB, bukan sahaja dilaporkan dalam Wall Street Journal (WSJ) tetapi juga dalam akhbar-akhbat lain dan stesen TV terkemuka dunia antaranya CNBC dan Channel News Asia.

Namun, dalam keadaan sekarang  pemimpin kerajaan tidak ada pilihan selain bertindak segera menyaman pihak-pihak berkenaan - WSJ dan Sarawak Report yang memainkan isu 1MDB termasuk dakwaan penyaluran AS$700 juta (RM2.6 bilion) ke akaun peribadi Perdana Menteri.

Suatu ketika sekitar tahun 2007, bekas Presiden Indonesia, Suharto menyaman majalah Time edisi Asia. Suharto menang kes itu dengan majalah terbitan Amerika Syarikat itu diperintah oleh Mahkamah Agung Indonesia supaya membayar ganti rugi RM360 juta kepadanya.

Saman fitnah itu berhubung satu artikel yang diterbitkan pada 1999 yang mendakwa bekas Presiden itu menyembunyikan kekayaan hasil rasuah di luar negara.

Lee Kuan Yew, Perdana Menteri terulung Singapura mengemukakan banyak saman terhadap media asing dan sering kali beliau menang.

Yang penting waktu ini, pemimpin kerajaan mesti ada bukti-bukti yang konkrit untuk menangkis tohmahan dan fitnah WSJ. Ini amat mustahak untuk akhirnya mengawal keadaan `kecelaruan minda’ yang berupaya menjejaskan ekonomi dan kestabilan negara.

Kita sedar sesetengah pihak cuba menangguk di air keruh dan mahu mengusutkan keadaan. Suatu yang pasti nama `media’ seperti WSJ dan Sarawak Report akan berbuat begitu, waima apa cara sekali pun.

Dalam mengharungi kehidupan ini kita didedahkan dengan tiga jenis kebenaran (truth). My truth, your truth and the truth. Yang kita bimbangkan adalah media-media asing ini cuba memperjuangkan kebenaran (truth) mereka. Sewajarnya bukan `my truth, your truth’ tetapi the truth (kebenaran itu). Dan `the truth’ untuk digapai, haruslah berlandaskan bukti-bukti konkrit dan bukan daripada sumber-sumber tidak berwibawa.

Cuma, kebanyakan pemberitaan media-media asing agak terbiasa `terpengaruh dengan sentimen’. Apa lagi jika ditulis dalam bentuk begitu meyakinkan dengan teknik-teknik penulisan seolah-olah profesional. 

Dengan ini menjadi tanggungjawab bukan sahaja Perdana Menteri, bahkan pihak media tempatan untuk menulis sesuatu laporan dengan mencari bukti dan  faktanya. Di sisi lain,  walaupun ada akta kerahsiaan untuk menyekat maklumat termasuk statistik yang diperlukan,  pihak berkenaan termasuk Ambank yang turut dikaitkan dalam urusan 1MDB, mesti mengambil bahagian sama mempertahankan kebenaran.

Kalau dengan laporan media asing, rakyat mudah dihasut, ini tentu merupakan satu bencana kepada negara.

Dan kita lihat kini  NGO seperti Bersih dan penuntut universiti sudah mula mahu turun ke jalanan konon mahu `membersihkan imej kerajaan’.

Fact-based truth boleh diterima dengan mudah oleh setiap orang. Tetapi perception-based truth berpotensi menimbulkan perbezaan pendapat, debat, bahkan konflik.

Kita kini dalam gelora politik yang dahsyat  dan memerlukan tindakan luar biasa untuk menangani kecelaruan laporan media-media asing.

 

Oleh: Kilas