12
Sel, Dis
906 ARTIKEL BARU

Tolak Viral Perkauman

Kolumnis 2
Typography
TIDAK kira siapa yang betul, siapa `kencing’ siapa dalam perbalahan dua kumpulan di Plaza Low Yat, dekat Bukit Bintang 13 Julai lalu, elakkanlah sentimen perkauman. Sudah lama kita tidak mendengar persengketaan yang sengaja mahu dikaitkan dengan kaum, seperti peristiwa di Kampung Medan, Jalan Klang Lama beberapa tahun lalu. Biarlah ia berlalu. Sudah muak dah dengan pemikiran mentaliti kelas 3 ini.
 
Memang terdapat kesukaran-kesukaran sosial dan politik telah mengundang pandangan tertentu yang tidak betul. Antaranya rusuhan-rusuhan jalanan di ibu negara pada Mei 1969, tetapi ciri-ciri positif percampuran dan interaksi antara berbilang kaum di negara ini telah membawa Malaysia ke tahap ia berada sekarang. Dari satu sudut, ia adalah kemampuan kerajaan dalam menangani pelbagai cabaran yang dilihat sebagai faktor tambahan dalam pembangunan negara yang berterusan.
 
Politik yang tidak bersandarkan hujah-hujah yang rasional akan sentiasa menghasilkan perkara-perkara negatif. Dari tahun 2006 hingga 2011, kita telah melihat kejadian-kejadian yang menjijikkan seperti mencemar masjid dan kuil, melontar kepala lembu di dalam kawasan kuil-kuil Hindu dan kepala khinzir ke dalam kawasan-kawasan masjid dan surau terutamanya selepas Mac 2010. Ini berikutan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan perkataan `Allah’ digunakan di sesetengah terbitan-terbitan Katholik. 
 
Pada Julai 2011, Kuala Lumpur telah dibanjiri oleh kumpulan-kumpulan rusuhan berbaju kuning yang dipanggil Bersih II menuntut perubahan-perubahan di dalam pilihan raya dan lain-lain perkara dalam masyarakat. Walaupun sebahagian besar segmen badan yang haram itu telah diwakili oleh belia-belia yang diupah, pilihan mereka untuk mengadakan politik jalanan itu telah meninggalkan kesan kepada beberapa pihak. Mereka tidak lagi memilih saluran Parlimen untuk menyalurkan tuntutan mereka.
 
Mereka telah mula percaya kepada keganasan politik. Justeru, Malaysia dan masyakat berbilang kaumnya perlu berwaspada setiap masa dalam menguruskan kerumitan berbilang kaum. Tidak diragui Kabinet akan menghadapi masalah dan cabaran pada masa depan. Terdapat peribahasa Melayu yang mengandungi banyak hikmah. Kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya.
 
Sistem pendidikan kita perlu diamanahkan untuk mencontohi dan mengamalkan persekolahan berbilang kaum yang mana rukun berbilang kaum harus diajar dan dipatuhi. Guru-guru harus dikerah dari masyarakat berbilang kaum dan pertimbangan akademik untuk menghasilkan unsur positif berbilang kaum. Unsur-unsur keagamaan yang keterlaluan mesti dicampak keluar. Dan yang paling penting undang-undang anti-perkauman dan amalan-amalan perlu dikuatkuasakan sebagai perkara rutin negara. 
 
Adalah diakui, tanpa isu-isu dan cabaran politik, kerajaan adalah hambar dan legap, tanpa keseronokan dan keghairahan untuk kebaikan. Tetapi pada masa sama, tanpa kesediaan untuk mengakui kesilapan, ia juga boleh membawa padah - dengan  sebuah kerajaan itu secara demokratiknya bergantung kepada sentimen-sentimen dan sokongan rakyat.
 
Politik bukan tempatnya di mana nasib memainkan peranan yang terlalu besar. Dalam politik, pilihan kaedah pemandu-automatik tidak membantu untuk mencapai kejayaan. Dasar-dasar penting negara serta simbolnya harus didukung bersama. Sebenarnya bukan salah politik tapi pelakunya. Benarlah seperti kata Gen. H. Norman Schwarzk bahawa "kepimpinan adalah kombinasi strategi dan perwatakan (karakter).
 
Jika harus memilih salah satu - pilihlah perwatakan. Memetik ungkapan ahli falsafah Greek, Plato : Wise men speak because they have something to say; Fools because they have to say something. (Golongan bijak pandai bercakap kerana mereka ada sesuatu yang ingin diperkatakan. Si dungu bercakap kerana mereka perlu berkata sesuatu).
 
Isu di Low Yatt bukan isu perkauman, tetapi kontroversi yang sengaja diviralkan.
 
 
Oleh: Kilas