17
Kha, Ogs
857 ARTIKEL BARU

Beza Presiden dan Perdana Menteri

Kolumnis 2
Typography
PERDANA Menteri adalah bos kepada Kabinet seperti mana yang berlaku di sekeliling dunia yang mempunyai sistem kerajaan Perdana Menteri. Beliau mengepalai kerajaan.  Beliau yang memilih barisan menterinya walaupun mereka itu dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai mengikut formaliti Perlembagaan.
 
Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi - pengganti kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad pada Oktober 2003 - pernah menegaskan bahawa beliau tidak menghiraukan protokol kenamaan, kereta besar dan rumah besar. Sedangkan, faktanya, tetap kekal bahawa protokol perdana berterusan sebagai perkara teratas dalam hidup seorang Perdana Menteri.
 
Apabila Perdana Menteri memasuki majlis, orang ramai akan berdiri dan tidak akan duduk sehingga beliau duduk. Ketibaan dan pemergian beliau, sebagaimana dikehendaki oleh protokol sosial dan politik, diumumkan. Beliau mengambil keutamaan ke atas semua pangkat dan barisan kecuali vis-a-vis Yang di-Pertuan Agong, Sultan dan Gabenor Negeri. 
 
Takhta kekuasaan beliau sentiasa menjadi rebutan oleh ahli-ahli politik secara berterusan terutama oleh mereka yang dalam barisan untuk mengambil alih. Sebaik sahaja terdapat belahan dalam parti, penganalisis politik akan pantas mengemukakan rumusan yang tidak diminta dan pihak media akan sibuk.
 
Di sebalik ini,  perbandingan antara Presiden di bawah sistem Amerika dengan Perdana Menteri di bawah sistem Westminster dan Whitehall yang telah banyak dibuat oleh para sarjana.
 
Kesimpulannya, mereka berpendapat bahawa Perdana Menteri mempunyai kuasa yang lebih dalam kerajaan.
 
Jika dianalisis dengan terperinci, peranan-peranan yang dimainkan oleh kedua-dua pemimpin ini, Perdana Menteri British sebagai contoh, mempunyai banyak kuasa naungan.
 
Seorang Presiden memerlukan persetujuan Kongres untuk melantik atau memecat mana-mana ahli Kabinet beliau.
 
Perdana Menteri pula hanya perlu menggunakan pena dan ia berakhir di situ tanpa sebarang persoalan.
 
Jawatan Presiden mempunyai jangka hayat selama empat tahun yang tepat, manakala Perdana Menteri mempunyai kuasa dan senjata yang besar dalam pembubaran Parlimen sebaik sahaja beliau melihat bahawa sokongan majoriti dari ahli-ahli Dewan menyusut atau apabila isu-isu politik nampaknya tidak memberi manfaat kepada beliau dan partinya.  
 
Pada masa sama, beliau mempunyai kuasa untuk mendisiplinkan jentera parti beliau. 
 
Sudah tentu, seorang Presiden tidak perlu menghadapi Raja atau Permaisuri yang mana kerajaan ditadbir di bawah nama dan kedaulatan mereka. Perdana Menteri pula mesti berinteraksi dan sebenarnya bergabung dengan raja dalam mentadbir negara ini - walaupun kedudukan raja hanya di atas nama yang telah berselindung sebagai pemerintah berperlembagaan.
 
Dan akhirnya seorang Presiden terpaksa menghadapi Kongres yang berbeza dan berasingan yang mana ahli-ahlinya terdiri daripada pembangkang dan parti pemerintah manakala Perdana Menteri boleh menguasai Parlimen dengan bilangan besar yang dipegang melalui parti politik.
 
Di Malaysia, Perdana Menteri menikmati kedudukan yang sangat disegani. Beliau menikmati kuasa mutlak walaupun beliau tidak ditandakan secara nyata oleh peruntukan-peruntukan perundangan bagi mencerminkan keistimewaan ini.
 
Bagi situasi di Malaysia, ia adalah suatu hakikat bahawa permintaan Perdana Menteri adalah sesuatu yang perlu dilaksanakan.
 
Keadaan ini berbeza dengan Timbalan Perdana Menteri dan seluruh ahli Kabinet yang mana Perdana Menteri tidak boleh dipecat dengan apa cara sekalipun, melainkan melalui undi tidak percaya yang diluluskan oleh sokongan ramai ahli Dewan Rakyat.
 
Seluruh ahli Kabinet termasuk timbalannya berkhidmat atas perkenan Perdana Menteri walaupun dalam bahasa Perlembagaan, mereka berkhidmat di bawah perkenan Yang di-Pertuan Agong.
 
Seperti yang terbukti dalam pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada September 1998, fungsi Perlembagaan dan kuasa Yang di-Pertuan Agong adalah semata-mata adat resam dari sudut peruntukan Perlembagaan iaitu ‘menerima dan bertindak atas nasihat’ di bawah Perlembagaan.”
 
Kedudukan ini adalah sama di semua negeri bersultan terutamanya selepas pindaan Perlembagaan pada 1993 yang menyebabkan Sultan-sultan kehilangan kekebalan undang-undang mereka.
 
Para menteri dalam Kabinet secara kolektif bertanggungjawab kepada badan perundangan, iaitu Parlimen dan dalam bahasa realitinya bertindak mengikut arahan kepimpinan iaitu Perdana Menteri. Ini merupakan suatu prinsip Inggeris yang masih teguh, diikuti di Malaysia walaupun ada kalanya timbalan menteri tertentu, mungkin kerana kejahilan, mengkritik dengan keras kementerian atau jabatan tertentu berkaitan sesuatu perkara. 
 
Anggota-anggota pentadbiran tidak dibenarkan mengkritik secara terbuka mana-mana kementerian atau jabatan kerana perbuatan itu akan menjejaskan imej dan kewibawaan kerajaan. Jika beliau mempunyai ketidakpuasan hati terhadap mana-mana kementeriannya, perkara itu mestilah menggunakan saluran yang sewajarnya. 
 
Seorang menteri tidak akan bertelagah dengan hasrat dan pandangan Perdana Menteri melainkan beliau sudah bersedia untuk melepaskan jawatannya.
 
Menggugurkan menteri atau mana-mana ahli pentadbiran merupakan perkara yang paling mudah untuk dilakukan oleh Perdana Menteri. Perdana Menteri hanya perlu menandatangani surat pengguguran/pemecatan dengan tarikh kuat kuasa yang dituliskan sekali.
 
Peraturan keadilan sejagat yang menggabungkan hak untuk didengar, walaupun dinikmati oleh penjawat awam, tidak diguna pakai kepada menteri-menteri dan timbalan-timbalan menteri.
 
Terdapat penerangan yang jelas mengenai hal ini dalam sejarah.
 
Pada 1972, Perdana Menteri Britain, William Pitt telah memecat Lord Canselor Thurlow yang secara terbuka mengkritik dasar-dasar Pitt di Parlimen. Pitt menguatkuasakan peraturan baharu yang dipanggil Perpaduan Kabinet Baharu (New Cabinet Solidarity) yang antara lain memberi kuasa kepada Perdana Menteri untuk memecat atau menggugurkan mana-mana menteri atas sebab-sebab yang beliau sahaja tentukan.  
 
Penerimaan oleh masyarakat terhadap Perdana Menteri adalah satu keajaiban dalam struktur sosial negara ini yang terdiri dari masyarakat berbilang kaum.
 
Seorang pelawat yang kali pertama ke negara ini sudah tentu kagum dengan Perdana Menteri yang dapat memimpin sebuah negara berbilang etnik dan di dalam sistem yang berfungsi dengan baik dan aman damai.
 
KILAS