#MQT : RISDA, FELCRA Terima 3,301 Permohonan Rumah Bina Negara

Parlimen
Typography

KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,626 permohonan telah diterima oleh RISDA bagi Rumah Bina Negara (RBN) sehingga 2017, dengan 158 permohonan telah diluluskan manakala 81 unit lagi sedang dalam pembinaan serta 16 unit telah siap sepenuhnya.

Menurut Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob, bagi program RBN yang dikelolakan oleh pihak FELCRA pula, sebanyak 1,675 permohonan telah diterima dengan 1,183 permohonan telah diluluskan yang melibatkan pembinaan sebanyak 1,183 unit bagi sembilan lokasi di seluruh negara.

Tambah Ismail Sabri, satu projek yang melibatkan 140 unit rumah telah siap, 123 unit pula sedang dalam pembinaan, manakala dua projek lagi berjumlah 318 unit  telah mendapat kelulusan kebenaran merancang, serta tiga projek dalam proses permohonan kebenaran merancang berjumlah 303 unit, dan dua projek pula dalam proses permohonan kelulusan tapak yang berjumlah 302 unit.     

Dalam pada itu, beliau juga menyatakan bahawa pemohon-pemohon yang tidak mempunyai slip gaji dan mahu memohon pinjaman daripada Agro Bank bagi pembelian rumah generasi kedua luar bandar hanya perlu mengemukakan penyata pendapatan yang disahkan oleh pemimpin-pemimpin tempatan  sahaja.

Jelasnya, permohonan ini terbuka kepada semua generasi kedua luar bandar dan tidak hanya tertakluk kepada FELDA atau FELCRA.

“Ia terbuka kepada semua, tak kira anak kepada pekebun kecil atau peneroka FELDA atau FELCRA. Kita faham bahawa masalah terbesar yang dialami oleh golongan generasi kedua yang mahu membeli rumah mampu milik adalah pemohon tidak mempunyai slio gaji.

“Ini lah punca utama yang menyebabkan golongan ini gagal memiliki rumah sendiri.  Saya dimaklumkan terdapat lebih 30 peratus dari golongan ini yang sudah berkahwin namun gagal memiliki kediaman sendiri,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Abd Manap pada sesi waktu pertanyaan menteri (MQT), di Dewan Rakyat, hari ini.

 

 

loading...