#MQT : Kerajaan Jamin Tingkatkan Tahap Kebersihan Chow Kit

Parlimen
Typography

KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan akan meningkatkan tahap kebersihan dan kemudahan Pasar Raja Bot (Pasar Chow Kit) usai fasa terakhir penaikan taraf di kawasan Segi Tiga Emas ibu kota tersebut, ujar Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor.

“Kawasan ini masih lagi dalam proses pembinaan dan penaikan taraf, jadi pada waktu ini, apa yang dikatakan oleh Sungai Petani adalah benar. Ianya agak ketara jika dilihatkan pada tahap kebersihan di pasar tersebut.

“Tetapi percayalah, apabila selesai proses pembinaan dan pembangunan yang telah kita laksanakan ini, kita akan pastikan kebersihan dalam kawasan Chow Kit ini akan terurus dan terjaga,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul pada sesi waktu pertanyaan menteri (MQT), di Dewan Rakyat, hari ini.

Ku Nan dalam pada itu, turut mengatakan bahawa kerajaan telah menjalankan pelbagai program bagi meningkatkan taraf kebersihan Kuala Lumpur khususnya di kawasan tumpuan pelancong seperti Kampong Baru, Chow Kit, Masjid India dan Bukit Bintang.

Tambah beliau, ianya telah dimulakan sejak tahun 2013 dan berjalan sehingga kini, termasuk program Blue Print kebersihan Kuala Lumpur yang melibatkan tiga kawasan tumpuan iaitu Bukit Bintang, Jalan Petaling dan Chow Kit.

Program tersebut menekankan konsep public engagement, iaitu semua pihak berkepentingan sama ada persatuan peniaga atau pemilik premis perniagaan, penduduk dan komuniti setempat seperti gotong-royong, program kebersihan secara berkala di ketiga-tiga kawasan yang terlibat.

Penglibatan aktif semua pihak berkepentingan ini diiktiraf oleh Kementerian sebagai rakan kongsi strategik serta agen pengubah bagi program Local Agenda 21 (LA21).

“Program Blueprint kebersihan Kuala Lumpur tersebut telah diperluaskan oleh kementerian wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi meliputi kawasan terpilih di semua 11 kawasan parlimen yang ada di Kuala Lumpur bermula tahun 2016.

 

“Ia dikenali program Blueprint Penarafan Kebersihan wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan setiap kawasan akan dinilai dan diberi status penarafan kebersihan selepas tamat tempoh fasa pelaksanaan dan diteruskan sehingga tahun 2019,” ujarnya. 

loading...