#Parlimen : Nazri Tekad Teruskan Debat, Harap Tun M Turut Hadir

Parlimen
Typography

KUALA LUMPUR - Anggota Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz tetap akan hadir ke majlis perdebatan dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed walaupun program itu tidak mendapat kebenaran daripada pihak polis.

Menurut Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu, beliau memberi jaminan bahawa debat itu akan berlangsung secara aman seperti yang telah dijadualkan pada Sabtu ini di Dewan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Kuala Kangsar, Perak.

"Saya akan tetap teruskan dan berharap agar Mahathir juga akan datang pada hari tersebut," katanya ketika ditemui di pekarangan Dewan Rakyat hari ini.

Polis Perak dalam satu kenyataan hari ini menolak permohonan penganjur bagi mengadakan dialog di antara kedua-dua pemimpin itu.

Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, permohonan tersebut ditolak setelah mengambil kira faktor keselamatan, ketenteraman awam, perlindungan hak dan kebebasan orang ramai.

Menurut Hasnan, antara faktor permohonan itu ditolak ialah kelewatan mengemukakan borang pemberitahuan sepertimana yang dinyatakan di bawah Seksyen 9(1) APA 2012.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Nazri yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno nyata kecewa dengan keputusan itu.

"Saya amat  berdukacita denga berita ini dan sangat terganggu dengannya, alasan yang diberikan adalah dari segi keselamatan dan terdapat beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang menghalang dialog ini.

 

"Saya hairan bila masa pula daerah ini jadi negara polis? Saya merupakan ahli Parlimen tempat ni, tak kan lah saya nak buat perkara tidak diingini?" katanya lagi.

loading...