#Parlimen : RUU 355, Pembangkang Tak Faham Bahasa

Parlimen
Typography

NAMPAKNYA memang ahli-ahli Parlimen pembangkang jenis tak faham bahasa. Lebih-lebih lagi ahli Parlimen Parti Amanah Negara, Khalid Samad. Tindakan Khalid yang mengecam keputusan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia supaya proses membahaskan usul persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 di Dewan Rakyat akan disambung pada sesi yang akan datang adalah salah satu contoh bahawa sememangnya ahli Parlimen pembangkang tak faham bahasa. 

Kalau mengikut apa yang diumumkan oleh Speaker, bukan bermaksud usul yang dibawa oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu tidak akan dibahaskan langsung. Cumanya, ia bukan dibahaskan pada sesi yang baru berakhir hari ini. Dengan terang Speaker menyebut bahawa usul itu akan dibawa untuk dibahaskan pada sesi persidangan Dewan Rakyat yang akan datang. 

Tapi respon yang ditunjukkan oleh Khalid adalah dengan terpekik-pekik menyebut "Islam bukan macam ni!". Habis itu Islam macam mana yang dimaksudkan Khalid? Islam yang terpekik-pekik macam dia yang tak reti hormat keputusan yang dibuat?

Motif sebenar pembangkang untuk bising dengan keputusan Speaker ini juga boleh dipertikai sebenarnya. Kenapa pada sebelah pagi sebelum Hadi membuat usul tersebut, beria-ia usaha beberapa orang di kalangan mereka untuk menghalang ia dari berlaku tapi bila sudah diusulkan, mereka pula beria-ia untuk membahaskan usul tersebut? Jadi tak salah lah kalau dikatakan motif mereka sebenarnya hanya nak buat kecoh semata-mata.