#Parlimen : Dewan Rakyat Ditangguh, 13 RUU Diluluskan

Parlimen
Typography

KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat hari ini ditangguhkan setelah 20 hari bersidang dengan 13 Rang Undang-Undang (RUU) diluluskan.

Antaranya adalah RUU Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) 2017 dan RUU Kebankrapan (Pindaan) 2016.

Lebih menarik lagi sidang kali ini turut mencatat sejarah tersendiri apabila bersidang hampir 20 jam, semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata kerajaan akan terus komited memastikan proses demokrasi di negara ini sentiasa subur dan berkembang.

"Saya berharap semua ahli-ahli Parlimen dapat memelihara Dewan yang mulia ini sebagai satu badan legislatif negara yang dihormati.

"Sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Parlimen, saya berterima kasih kepada semua ahli Parlimen yang berbahas dan menunjukkan kematangan untuk menyuarakan masalah rakyat secara lebih profesional.

"Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Timbalan-Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat serta seluruh pegawai dan kakitangan termasuk anggota keselamatan yang turut menyumbang tenaga dalam memastikan persidangan kali ini berjalan lancar," katanya dalam satu kenyataan.