Hubungan Diplomatik Malaysia – K. Utara Tidak Akan Menjadi Hubungan Yang Sama – Reezal Merican

Parlimen
Typography

KUALA LUMPUR – Hubungan diplomatik di antara Malaysia dengan Korea Utara tidak akan lagi menjadi hubungan yang sama, Dewan Negara diberitahu.

Namun begitu menurut Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, ketika ini masih tiada lagi cadangan diterima supaya Malaysia menutup kedutaannya di Korea Utara ataupun memutuskan terus hubungan diplomatiknya dengan negara tersebut.

“Iklim hubungan kedua-dua (Malaysia – Korea Utara) ini sememangnya tidak akan lagi menjadi hubungan yang sama.

“Namun begitu sebagaimana kelaziman yang dilakukan dalam mana-mana hubungan diplomatik, pada waktu ini tidak ada lagi cadangan untuk kita menutup kedutaan ataupun kita memutuskan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Senator Tan Sri S Nallakaruppan pada sidang Dewan Negara hari ini.

Hubungan di antara Malaysia dan Korea Utara menjadi keruh susulan pembunuhan seorang warga Korea Utara, King Jong Nam yang juga abang kepada pemimpin tertinggi negara itu, Kim Jong Un di KLIA, Februari lalu.

Susulan kes pembunuhan tersebut, Duta Besar Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol telah menuduh kerajaan Malaysia cuba menyembunyikan fakta-fakta berkaitan kejadian yang berlaku di KLIA itu dan juga tuduhan bahawa kerajaan Malaysia bersekongkol dengan kuasa-kuasa luar berkaitan dengan insiden kematian tersebut.

“Antara tindakan yang paling drastik yang telah kita ambil adalah ketika mana kita mengusir Duta Besar Korea Utara ke Malaysia ini kerana telah dianggap sebagai ‘persona non grata’ yang telah dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia pada 4 Mac 2017.

“Ini dilakukan setelah berulang kali insiden berlaku dan terakhir sekali beliau dipanggil untuk membuat kenyataan dan untuk diberi peringatan, namun beliau tidak hadir.

“Disebabkan itu, maka kerajaan Malaysia di bawah Kementerian Luar telah mengambil keputusan untuk mengisytiharkan beliau sebagai persona non grata yang sememangnya termaktub di bawah Artikel 41 Konvensyen Vienna Mengenai Hubungan Diplomatik 1961.

“Dan walaupun kita masih ada hubungan diplomatik dengan Korea Utara, namun hubungan ini adalah hubungan yang sama sekali tidak sama dengan keadaan hubungan yang pernah kita jalinkan selama empat dekad yang lalu,” jelas Reezal.