Dewan Negara Lulus RUU Perbekalan Tambahan (2016) 2017

Parlimen
Typography

KUALA LUMPUR - Dewan Negara malam ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2016) 2017 bagi memohon perbelanjaan tambahan sebanyak RM3.08 bilion untuk perkhidmatan 2016.

RUU itu yang dibentangkan oleh Timbalan Menteri Kewangan Datuk Othman Aziz diluluskan tanpa dibahas dan tanpa pindaan.

Yang Dipertua Dewan Negara Datuk S A Vigneswaran meluluskan usul itu selepas menyaksikan lebih suara menyokong berbanding membantah.

Pada 27 Mac lepas, RUU itu diluluskan pada persidangan Dewan Rakyat setelah dibahas di peringkat jawatankuasa.

Sebahagian besar perbelanjaan itu diperuntukkan kepada Kumpulan Wang Terkanun iaitu sebanyak RM2,248,437,560, Kementerian Pendidikan (RM297,960,000), Kementerian Pengangkutan (RM215,709,466), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (RM128,000,000), Kementerian Kesihatan (RM104,400,000) dan Kementerian Luar (RM24,126,000).

RUU itu turut melibatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan perbelanjaan sebanyak RM62,780,000.

Dewan Negara juga meluluskan usul menjunjung kasih ke atas titah ucapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V semasa merasmikan istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-13 pada 6 Mac lepas.

Persidangan Dewan Negara bersambung esok.

 

- BERNAMA