#Parlimen : Sistem Penghadang Jalan Beroda Kurangkan Kadar Kemalangan 94 Peratus

Parlimen
Typography

KUALA LUMPUR – Pemasangan sistem penghadang jalan keselamatan beroda telah berjaya mengurangkan kadar kemalangan sebanyak 94 peratus, Dewan Rakyat diberitahu.

Menurut Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Rashid Shirlin, berdasarkan pemerhatian selama enam bulan pertama selepas pemasangannya, faktor yang penyumbang kepada pengurangan kadar kemalangan secara langsung atau tidak langsung adalah disebabkan ciri-cirinya yang mempunyai mekanisma pantulan cahaya yang lebih jelas dilihat khususnya pada waktu malam. 

Selain itu katanya, ciri-ciri lain adalah kebolehan menyerap tenaga kejutan dan beban hentaman kepada beban putaran di mana secara langsung akan mengurangkan impak pelanggaran kepada kenderaan dan pemandu.

“Ujian perintis penghadang jalan keselamatan beroda sepanjang 130m telah di pasang di Laluan FT15 Jalan Lapangan Terbang Subang, seksyen 0.3 di lokasi pusingan U berdekatan Bulatan Menara Jam. Kerja-kerja pemasangan telah siap dilaksanakan pada 14 Disember 2016.

“Tempoh percubaan bagi pemasangan ini untuk tempoh 6 hingga 12 bulan.

“Berdasarkan pemerhatian 6 bulan pertama selepas pemasangan, didapati berlaku pengurangan kadar kemalangan sebanyak 94 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Dr. Muhammad Leo Michael Toyad Abdullah (BN-Mukah) di Dewan Rakyat, hari ini.

Walau bagaimanapun ujar Rosnah, kos pemasangan permulaan penghadang jalan keselamatan beroda enam kali lebih mahal berbanding dengan penghadang jalan konvensional di mana kos pemasangan penghadang jalan konvensional RM250 per meter manakala kos pemasangan permulaan penghadang jalan keselamatan beroda RM1,500 per meter.

Selain itu katanya, bagi mengatasi isu vandalisme dan kecurian melibatkan kemudahan papan tanda jalan raya, Kementerian Kerja Raya melalui Jabatan Kerja Raya telah mengambil tindakan yang proaktif dengan memperkenalkan penggunaan bahan yang tiada nilai jualan terpakai seperti menggantikan papan tanda aluminium kepada bahan komposit fiber. 

“Bagi kes kecurian penghadang jalan keselamatan, Kementerian Kerja Raya telah mengambil langkah dengan memasang skru anti kecurian dan juga skru dimatikan dengan melakukan pengimpalan secara bertompok. 

“Sebagai langkah pencegahan, Jabatan Kerja Raya dan syarikat konsesi melaksanakan pemantauan secara berterusan dan lebih teliti di kawasan yang kerap berlakunya kecurian,” katanya.