#Parlimen : PAS Cabar Pembangkang Jumpa Arul Kanda

Parlimen
Typography

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen PAS Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan mencabar parti pembangkang yang lain terutamanya DAP untuk berjumpa Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda bagi mendapatkan penjelasan isu berkaitan syarikat itu.

Menurut beliau, keputusan pemimpin PAS berjumpa Arul baru-baru ini adalah kerana mahu penjelasan berhubung isu 1MDB susulan enam soalan wakil rakyatnya berkaitan 1MDB ditolak oleh Speaker.

“Enam soalan berkaitan 1MDB oleh ahli parlimen PAS ditolak (Speaker). Atas dasar itu (subjudis) kita minta di luar Dewan dan dia (Arul) setuju,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau mencelah pertikaian antara Lim Lip Eng (DAP-Segambut) dengan Timbalan Speaker Datuk Seri Ronald Kiandee berhubung isu-isu 1MDB yang diputuskan subjudis oleh Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Wakil rakyat DAP itu bangun bertanya kenapa Arul memberi penjelasan kepada PAS sedangkan Speaker memutuskan isu itu adalah subjudis.

Ronald menjelaskan bahawa apa yang dipetuakan Speaker sebagai subjudis hanya terpakai di Dewan Rakyat.

Katanya lagi, keputusan Speaker berhubung perkara itu adalah muktamad dan hanya boleh dikaji dengan usul berdasarkan peraturan mesyuarat yang ada.

Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS kemudian mencabar DAP atau parti pembangkang lain berjumpa pihak 1MDB jika tidak puas hati soalan mereka ditolak Speaker.

Dewan kemudian kecoh apabila Ahli Parlimen DAP Bandar Kuching Chong Chieng Jen bangun dan menuduh PAS sudah menjadi cawangan UMNO kerana menyokong 1MDB.

Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing turut bangun menyelar ahli-ahli parlimen pembangkang yang sebahagiannya adalah peguam tetapi tidak faham peraturan mesyuarat Dewan Rakyat.