#Parlimen : Noh Selar Rumah Selangorku Tidak Salur Subsidi Kepada Pembeli

Parlimen
Typography

KUALA LUMPUR – Tan Sri Noh Omar hari ini menempelak projek perumahan rumah mampu milik Kerajaan Selangor kerana gagal memberikan subsidi kepada pembeli.

Ini katanya yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berbeza dengan rumah yang disediakan oleh pihak Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional (BN).

Katanya, kerajaan Selangor yang diterajui Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali gagal memberi sebarang subsidi kepada projek perumahan Rumah Selangorku di negeri tersebut.

“Kita tengok dasar kerajaan Selangor, dia tak keluar duit pun, dia hanya arahkan pemaju buat rumah Selangorku, pemaju dipaksa buat, jadi apa kesannya?

“Itu yang pemaju seolah-olah cross line subsidi, rumah Selangorku terpaksa dijual dengan harga, katakan rumah itu bernilai RM300,000… maka pemaju terpaksa jual lebih kerana nak dapatkan subsidi tersebut kerana kerajaan negeri tak keluarkan subsidi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Khalid Abdul Samad (PAN-Shah Alam), di Dewan Rakyat, hari ini.