#Parlimen : SPRM Dipertimbang Bantu Atasi Penipuan Pakej Umrah – Mas Ermieyati

Parlimen
Typography

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan dipertimbangkan untuk dimasukkan ke dalam Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) bagi mengambil tindakan terhadap syarikat yang melakukan penipuan tawaran pakej umrah.

Menurut Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, kementeriannya akan mempertimbangkan cadangan yang dikemukakan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) itu.

Menurutnya, cadangan tersebut dipercayai dapat membantu usaha kementerian dalam mengurangkan aktiviti penipuan terhadap pakej umrah yang dijalankan syarikat dan agensi tidak bertanggungjawab.

"Sehingga Mei lalu, hampir 240,000 jemaah membeli pakej umrah dan ini menunjukkan peningkatan berbanding 90,000 jemaah umrah pada tahun 2009.

"Kementerian dengan kerjasama 13 agensi dalam MKSU sentiasa melakukan pemantauan bagi mengenal pasti syarikat yang tidak mempunyai lesen dalam urus niaga pakej umrah.

"Tindakan memasukkan SPRM dalam MKSU adalah satu cadangan yang baik dan saya akan membawa perkara ini dalam mesyuarat (Kabinet)," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.