#MQT : TH Yakin Masalah Kelewatan Visa Bakal Haji Dapat Diselesaikan

Parlimen
Typography

KUALA LUMPUR - Lembaga Urusan Tabung Haji (LUTH) tidak menafikan wujudnya bakal haji yang menghadapi masalah visa untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu tahun ini.

Memetik laporan BNBBC, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom sebagai berkata, masalah visa ini adalah di luar kawalan LUTH dan terpaksa melalui tiga proses atas talian untuk mendapatkan visa haji, namun LUTH sedang cuba sedaya upaya dan yakin dapat menyelesaikan semua masalah bakal haji yang terkandas kerana kelewatan visa ini sebelum musim haji bermula.

“Tabung Haji berusaha sebaik mungkin untuk mendapatkan visa kebenaran haji atau visa kebenaran masuk ke Arab Saudi kepada semua bakal haji.

“Kelulusan visa ini dilakukan secara atas talian dan melalui tiga peringkat iaitu e-Haj, Muasasah, dan Kementerian Luar Negeri (MOFA),” katanya ketika menjawab Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT), yang dikemukakan Ahli Parlimen PAS Bukit Gantang Idris Ahmad yang meminta kerajaan menjelaskan punca dan langkah segera untuk menyelesaikan bakal haji yang terkandas kerana kelewatan visa di Dewan Rakyat, Khamis.

Jelas Jamil Khir, masalah ini turut dialami bukan sahaja di Malaysia, malah semua negara di dunia juga turut menghadapi masalah yang sama berikutan Arab Saudi memberi pertambahan kuota jemaah haji pada tahun ini, di samping penggunaan kelulusan visa atas talian yang baru beroperasi 2 tahun itu juga menyumbang kepada masalah tersebut.

“Bilangan jemaah haji bertambah tahun ini selepas Arab Saudi memberi pertambahan kuota kepada semua negara.

“Pihak Arab Saudi juga telah menambah bilangan pekerja yang mengendalikan sistem ini termasuk beroperasi pada hari cuti bagi menyelesaikan kelulusan visa ini,” jelasnya lagi.

 

Seramai 67 jemaah haji negara masih terkandas, menurut Jamil Khir akan diberi tempat penginapan, makan dan minum oleh LUTH dan ditempatkan di Kompleks LUTH, Kelana Jaya sementara menunggu kelulusan visa mereka.

“Tabung Haji juga mewujudkan satu bilik khas yang berfungsi sebagai membantu dan memberi maklumat terkini untuk menyelesaikan masalah bakal haji yang terkandas ini.

“Kita juga menyediakan petugas khas untuk memberi khidmat dan bantuan kepada bakal haji yang terkandas ini.

“Tabung Haji juga akan meningkat kapasiti penumpang dengan menukarkan pesawat boeing 777 kepada Airbus yang boleh membawa 480 penumpang untuk mengelakkan semua jemaah haji sampai ke Arab Saudi sebelum haji bermula,” jelas Ahli Parlimen Jerai itu.

Dalam pada itu, Dewan Rakyat turut dimaklumkan bahawa sehingga semalam, 63 pesawat penerbangan telah berjaya membawa lebih 23,700 jemaah haji ke tanah suci.