#Parlimen : Pindaan Akta Bantuan Guaman Diluluskan

Parlimen
Typography

KUALA LUMPUR - Dewan Negara sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Bantuan Guaman pindaan 2017.

Menurut Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman berkata, RUU ini membuktikan komitmen kerajaan dalam membantu meringankan beban kumpulan sasar yang memerlukan.

Selain itu menurut Azalina, pindaan ini juga bagi memastikan kelestarian Jabatan Bantuan Guaman (JBG) dan perkhidmatan yang diberikan memberi impak kepada masyarakat untuk mendapatkan akses keadilan yang sewajarnya.

“Antara perkara yang dipinda, pertama adalah takrif ‘bantuan guaman’ untuk memperjelaskan bentuk guaman yang diberikan oleh JBG.

“Pindaan kedua adalah untuk menghadkan bantuan guaman hanya kepada warganegara.

“Pindaan ketiga adalah untuk menambah baik ujian kemampuan yang diguna pakai pada masa ini supaya ia selaras dengan dasar semasa kerajaan dalam memastikan bantuan guaman hanya diperuntukkan kepada kumpulan sasar yang benar-benar layak,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya lagi, pindaan yang keempat adalah menstruktur semula peruntukan mengenai fi pendaftaran.

“Manakala, pindaan kelima adalah memperkenalkan konsep ‘pendamping guaman’ kepada mangsa kesalahan jenayah terhadap kanak-kanak dan masih seorang kanak-kanak semasa prosiding dijalankan di mahkamah,” ujar beliau.

Sehubungan dengan itu, Azalina mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua Ahli Parlimen yang mengambil bahagian dalam perbahasan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara sekaligus meluluskan Rang Undang-Undang ini.

“Rang Undang-Undang ini akan diangkat untuk perkenan Yang Di-Pertuan Agong sebelum ia boleh dikuatkuasakan,” katanya.