RUU 164 Tidak Bercanggah Dengan Perlembagaan Persekutuan - Azalina

Parlimen
Typography

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan Dan Perceraian) (Pindaan) 2017 yang diluluskan di Dewan Negara tidak bercanggah dengan mana-mana peruntukan Pelembagaan Persekutuan. 

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, pindaan ini adalah berkenaan perkahwinan monogami bagi orang bukan Islam yang merangkumi upacara dan pendaftaran perkahwinan di Malaysia. 

“Justeru, tidak timbul isu bahawa pindaan ini bercanggah dengan Senarai II, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan seperti yang didakwa beberapa pihak. 

“Ini kerana, apabila salah seorang daripada pasangan tersebut memeluk agama Islam mereka masih boleh merujuk kepada mahkamah sivil mengenai perkara yang berhubungan dengan pembubaran perkahwinan yang dibuat di bawah undang-undang sivil,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya lagi, selagi suami atau isteri yang tidak memeluk agama Islam tidak memfailkan petisyen perceraian di mahkamah sivil, perkahwinan sivil suami isteri itu masih dianggap sah dan berterusan di bawah Akta 164. 

Selain itu jelas beliau, perkahwinan yang didaftarkan secara sivil adalah sah selagi tiada apa-apa perintah dibuat oleh Mahkamah Sivil dan kedudukan ini adalah selaras dengan keputusan-keputusan Mahkamah Tertinggi di Malaysia.

“Manakala mengenai cadangan pindaan untuk memasukkan seksyen  51 ke dalam Rang Undang-Undang ini adalah untuk menyelesaikan pertikaian yang timbul sebelum ini. 

“Pindaan ini juga tidak menafikan hak kedua-dua pihak untuk memfailkan petisyen sekaligus memberi keadilan kepada pasangan untuk perceraian secara baik. Disamping itu kebajikan anak-anak juga dapat diurus bagi menjamin masa depan mereka. 

“Sehubungan itu, saya juga berharap semua pihak memahami terlebih dahulu pindaan ini sebelum membuat sebarang kenyataan. 

“Perkara ini penting demi kesejahteraan masyarakat sejagat agar tidak disalah tafsir. Kerajaan sama sekali tidak akan berkompromi dengan kedaulatan agama Islam sebagai agama Persekutuan, dalam masa yang sama memelihara prinsip kemajmukan bangsa dan agama di dalam kalangan rakyat negara ini,” katanya.