#MQT : Program MEA Bantu Graduan Kuasai Bahasa Inggeris - Idris

Parlimen
Typography

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah melancarkan program Malaysia English Assessment (MEA) sebagai usaha untuk memastikan graduan di negara ini mampu menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

Menurut menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh, pelaksanaan MEA berupaya menjadi ‘game changer’ dalam pengusaan bahasa Inggeris graduan di kolej dan universiti-universiti di Malaysia.

“Kementerian telah melancarkan MEA, satu program supaya pelajar dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik dan juga menepati kualiti dengan memastikan ianya selaras dengan Common European Framework of Reference (CEFR).

“Kelayakan ini boleh digunapakai bukan sahaja di negara kita tetapi juga di seluruh dunia kerana CEFR ini diiktiraf seluruh dunia.

“MEA ini akan menjadi game changer dalam penguasaan bahasa Inggeris di kolej dan universiti dalam negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Datuk Ahmad Nazlan bin Idris (BN-Jerantut) pada waktu pertanyaan-pertanyaan menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya lagi, MEA mempunyai dua komponen iaitu taksiran secara formal dan secara tidak formal di mana pembelajaran dalam situasi sebenar dilaksanakan iaitu dalam alam pekerjaan ataupun aktiviti luar kelas berasaskan tugasan.