#Parlimen : Kerajaan Rangka Empat Model Kurikulum Sekolah Tahfiz - Timb Menteri

Parlimen
Typography

KUALA LUMPUR – Kerajaan melalui pelaksanaan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) sedang merangka empat model kurikulum yang boleh digunapakai oleh institusi tahfiz di negara ini, Dewan Rakyat diberitahu.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, inisiatif tersebut digerakkan kerana kerajaan menyedari bahawa sistem pendidikan tahfiz di negara ini perlu ditambah baik.

“Semua institusi pendidikan agama termasuk sekolah tahfiz yang ditubuhkan oleh pelbagai pihak adalah perlu berdaftar dan tertakluk kepada enakmen kawalan sekolah-sekolah agama atau peraturan dan undang-undang yang berkuatkuasa di negeri berkenaan.

“Ini adalah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan bahawa hal ehwal Islam adalah di bawah bidang kuasa pihak berkuasa agama negeri.

“Oleh itu aspek akademik dan sistem pembelajaran dan pengurusan sekolah berkenaan adalah berada di bawah kawalan pihak berkuasa agama negeri berkenaan.

“Pada masa ini tiada sistem pengajian tahfiz yang khusus atau selaras yang digunapakai oleh pengusaha sekolah tahfiz. Kebanyakan sekolah tahfiz menggunakan kaedah dari pelbagai aliran pengajian bergantung kepada aliran pengajian guru masing-masing.

“Kerajaan menyedari bahawa sistem pendidikan tahfiz perlu ditambah baik untuk menjamin kualiti lepasan pelajar sekolah tahfiz adalah terjamin.

“Oleh itu kerajaan melalui pelaksanaan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) sedang merangka empat model kurikulum yang boleh digunapakai oleh institusi tahfiz bagi menjamin masa depan dan hala tuju pelajar-pelajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Datuk Ir Nawawi bin Ahmad (BN-Langkawi) di Dewan Rakyat, hari ini.

Nawawi di dalam soalannya meminta kerajaan menyatakan apakah kementerian bercadang untuk mewujudkan satu sistem pembelajaran khas untuk sekolah tahfiz.