#Parlimen : Kerajaan Sedia Peruntukan RM84.52 Juta Untuk SJK Tamil - Timb Menteri

Parlimen
Typography

KUALA LUMPUR - Kerajaan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM84.52 juta untuk Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil di negara ini bagi tahun 2017, Dewan Rakyat diberitahu.

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan, daripada jumlah tersebut, peruntukan pembangunan SJK Tamil yang telah dibelanjakan pada tahun 2017 ialah sebanyak RM24.5 juta.

“Perbelanjaan tersebut digunakan antaranya ialah untuk penggantian penuh, pembinaan blok bangunan tambahan, pembinaan sekolah baru, pembinaan pra-sekolah dan perolehan tanah.

“Pada masa yang sama, kerajaan telah menyediakan peruntukan penyelenggaraan khas bagi tahun 2017 sebanyak RM50 juta kepada SJK Tamil bagi tujuan penyelenggaraan infrastruktur dan RM10 juta bagi pembinaan 50 buah kelas pra-sekolah di SJK Tamil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada V Sivakumar (DAP-Batu Gajah) di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya lagi, bagi peruntukan penyelenggaraan khas fasa 1, sebanyak RM25 juta telah selesai diagihkan.