#Parlimen : Tak Sokong #Bajet2018, Tapi Minta Peruntukan Tambahan Banjir - Shahidan

Parlimen
Typography

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim hari ini menempelak tindakan wakil rakyat pembangkang yang tanpa segan silu meminta peruntukan tambahan untuk banjir. 

Ini kerana katanya wakil rakyat pembangkang dilihat lebih mengutamakan kepentingan politik dengan tidak menyokong Rang Undang-Undang Perbekalan 2018 yang diluluskan untuk bacaan kali kedua semalam.

Sedangkan ujar beliau rang undang-undang itu juga melibatkan bantuan kepada mangsa bencana banjir. 

“Saya berterima kasih kerana Yang Berhormat memohon peruntukan tambahan luar jangka, tetapi mengapa Yang Berhormat tidak sokong bajet semalam, bajet semalam sepatutnya disokong oleh wakil-wakil pembangkang. ?

“Mereka bukan saja menentang tetapi meminta membuat undi belah bahagian. Saya kesal sesungguhnya pembangkang menentang Bajet 2018 semalam termasuk untuk membantu mangsa banjir. ?

“Ini juga menunjukkan mangsa banjir tidak mendapat sokongan daripada ahli pembangkang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi waktu pertanyaan-pertanyaan menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu Sim Tze Tzin (PKR-Bayan Baru) bertanyakan soalan samada kerajaan pusat boleh meluluskan peruntukan simpanan luar jangka sebanyak RM2 bilion bagi negeri Pulau Pinang.