#Parlimen : STBS Bakal Beroperasi di Kuching Tahun Hadapan - Nancy

Parlimen
Typography

KUALA LUMPUR - Warga Kuching bakal menikmati sistem bas henti-henti yang lebih efisien dan sistematik yang dijangka beroperasi pada awal tahun hadapan.

Menurut Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri, program Stage Bus Services Transformation (SBTS) yang sepatutnya beroperasi pada tahun ini di Kuching terpaksa ditangguhkan disebabkan beberapa masalah teknikal.

“Alhamdulillah semua rundingan dan perbincangan telah pun kita muktamadkan, sukacita kita maklumkan khabar gembira ini kepada warga bandaraya Kuching bahawa program SBST Kuching akan ditandatangani pada minggu hadapan.

“Insyallah perkhidmatan bas heti-henti ini akan dapat dinikmati oleh warga Kuching pada tahun hadapan. Dan saya akan hadir menyaksikan perjanjian persefahaman MOU Antara Kerajaan Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan minggu hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Rubiah Wang (BN-Kota Samarahan) pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab soalan daripada Sim Tze Tsin (PKR-Bayan Baru), Nancy menjelaskan kerajaan komited untuk melaksanakan STBS di semua ibu negeri seluruh negara.

Bagaimanapun menurut Nancy, program SBST ini dalam proses kajian dan telah dilaksanakan secara berperingkat di beberapa buah ibu negeri iaitu Kangar, Ipoh dan Seremban.

“Kita ada enam pilot test yang sedang kita jalankan sekarang melibatkan semua ibu negeri seluruh negara.

“Kita sedang membuat penilaian kepada penentuan laluan berdasarkan kepada perkhidmatan yang ada pada masa ini di dalam sesuatu kawasan.

“Kita tidak mahu masuk begitu sahaja dan mengganggu pengendali bas tempatan sesuatu kawasan. Kita tidak mahu wujud saingan kepada STBS. Jadi kita perlu menilai dahulu sama ada perlukah masuk laluan tersebut di sesuatu kawasan,” katanya.