#Parlimen : Malaysia Nombor 42 Paling Bahagia di Dunia

Parlimen
Typography

KUALA LUMPUR – Malaysia menduduki tangga ke 42 daripada 155 negara sebagai negara paling bahagia di dunia.

Perdana Menteri di dalam jawapan bertulisnya kepada Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah (BN-Tambun) menjelaskan kedudukan tersebut meningkat lima anak tangga berbanding tahun lepas.

“World Happiness Report merupakan ukuran kegembiraan yang diterbitkan secara tahunan oleh Sustainable Development Solutions Network untuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Pada tahun 2017, Malaysia menduduki tangga ke 42 daripada 155 negara sebagai negara paling bahagia di dunia, meningkat lima anak tangga daripada tempat ke 47 berbanding dengan pencapaian tahun lepas.

“Ini merupakan peningkatan kedua berturut-turut sejak tahun 2015,” jelasnya.

Dalam kalangan negara ASEAN, Malaysia menduduki tempat ketiga selepas Singapura (tangga ke-26) dan Thailand (32) serta jauh lebih baik jika dibandingkan dengan anggota ASEAN yang lain misalnya Filipina (72) dan Indonesia (81).

Malah kedudukan Malaysia juga lebih tinggi jika dibandingkan dengan beberapa negara maju seperti Itali (48), Jepun (51), Korea Selatan (56) dan Hong Kong (71).