#Parlimen : JITN Kukuh Sistem Kawalan Integriti Dalaman Organisasi - Razali

Parlimen
Typography

KUALA LUMPUR - Penubuhan Jabatan Integiriti dan Tadbir Urus Negara (JITN) bertujuan mengukuhkan sistem kawalan dalaman khususnya dalam mengendalikan pentadbiran dan isu integriti sesebuah organisasi awam swasta serta korporat, Dewan Rakyat diberitahu.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim, peranan jabatan tersebut merangkumi skop yang lebih meluas merangkumi peranan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (SUHAKAM) dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasan (SIAP).

Sekaligus ujar beliau, tidak akan berlaku pertindihan peranan yang dimainkan oleh agensi-agensi tersebut.

“Kelemahan tadbir urus sering berulang dan dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara, dalam indeks rasuah dan penangkapan kes-kes rasuah oleh SPRM memberi penekanan supaya penambahbaikan perlu terus diperkasa.

“Selain itu pemantapan keutuhan sistem pentabiran kerajaan perlu dipertingkatkan melalui arahan Perdana Menteri nombor  1 tahun 2014 mengenai gerakan pemantapan keutuhan sistem kerajaan Malaysia.

“Jadi Jabatan Integriti ini adalah satu badan yang akan mengendali semua perkara oleh SPRM, SIAP, SUHAKAM dan integriti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi pergulungan peringkat jawatankuasa  Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat.

Kabinet sebelum ini bersetuju menubuhkan JITN sebagai langkah menaik taraf Bahagian Integriti dan Tadbir Urus (BITU) sedia ada.

Keputusan itu diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Paul Low Seng Kuan pada Siri Dialog TN50: Melangkah ke Hadapan Meneruskan Agenda Integriti Negara, bersama Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI).

Bagaimanapun Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad meminta perkara itu dikaji semula dengan menjelaskan yang penubuhan jabatan itu tidak perlu kerana ia bukan sahaja membawa kepada pembaziran dana, malah mencetus pertindihan fungsi antara beberapa agensi berkaitan.

Tambah Razali kerajaan sedia maklum akan peranan yang dimainkan  agensi tersebut, namun pihaknya juga perlu mengambil kira perlaksaan undang-undang liabiliti korporat dan  adaptasi sistem pengurusan anti rasuah bagi membendung gejala itu dalam sektor awam dan swasta.

“Suruhanjaya SPRM boleh mengesyorkan kepada kerajaan tentang langkah penambahbaikan bagi membanteras rasuah, namun perlaksanaan dasar dan integriti mencakupi bidang yang lebih meluas bukan  hanya pencegahan rasuah semata mata dan tadbir urus adalah di bawah tanggungjawab JITN.

“Mandat yang sama diberikan kepada SUHAKAM antara lain termasuklah mengesyorkan kepada kerajaan langkah-langkah yang perlu diambil mengenai hak asasi manusia, sama juga integriti dan SIAP,” katanya.