#Parlimen : Larangan Pemakaian Tudung Bertentangan Perlembagaan - Timb Menteri

Parlimen
Typography

KUALA LUMPUR - Larangan pemakaian tudung bagi wanita Islam dalam sektor perhotelan seperti dibangkitkan Persatuan Hotel-Hotel Malaysia (MAH) adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki turut menyifatkan sekatan dibuat oleh sesetengah pengusaha hotel di negara ini sebagai tidak wajar.

Menurutnya, pendirian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) adalah berdasarkan status Islam sebagai agama rasmi di negara ini serta prinsip kebebasan dalam beragama.

“Dalam soal ini, perlu difahami secara jelas bahawa pemakaian tudung dalam Islam adalah kewajipan dan isu ini bersifat menyeluruh yang menjadi sebahagian daripada tuntutan agama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2018 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat.