#Parlimen : Pegawai Perhubungan Sekolah Bantu Tangani Masalah Disiplin Murid Sekolah - Timb Menteri

Parlimen
Typography

KUALA LUMPUR - Jalinan kerjasama strategik antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan PDRM dalam menangani salahlaku disiplin telah diadakan melalui pelbagai program dan aktiviti, Dewan Rakyat diberitahu.

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Chong Sin Woon antara bentuk kerjasama yang dijalankan adalah melalui pelantikan Pegawai Perhubungan Sekolah.

Menjawab soalan daripada Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-Tanjong Piai), Pegawai Perhubungan Sekolah yang dilantik itu bertanggungjawab untuk mengadakan lawatan ke sekolah bagi memantau dan meneliti perkembangan disiplin murid.

Selain itu katanya, pegawai tersebut juga bertanggungjawab melakukan perbincangan dengan pihak pengurusan sekolah mengenai perlakuan murid yang bermasalah.

“Ketiga, (pegawai yang dilantik) mengadakan sesi khidmat nasihat dan panduan keselamatan kepada murid dalam perhimpunan sekolah,” katanya.

Menurutnya lagi, pegawai tersebut juga turut bertanggungjawab mengadakan ceramah dan pameran berkaitan pencegahan jenayah, pencegahan penyalahgunaan dadah dan keselamatan jalanraya.

Selain itu, mereka juga melibatkan diri dalam jawatankuasa permuafakatan sekolah.