#Parlimen : WTD Boleh Dituntut Selepas 15 Tahun - Timb Menteri

Parlimen
Typography

KUALA LUMPUR - Wang Tidak Dituntut (WTD) masih boleh dituntut atau dibayar kepada pemiliknya meskipun 15 tahun wang tersebut belum pernah dituntut, Dewan Rakyat diberitahu.

Menurut Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz, tiada had tempoh yang ditetapkan bagi seseorang individu untuk menuntut wang tersebut.

Namun begitu ujar beliau, WTD itu akan dipindahkan ke Wang Pindahan Hasil selepas tempoh 15 ke 20 tahun wang tersebut tidak lagi dituntut.

“Apabila wang tidak dituntut ini dipegang oleh Jabatan Akauntan (AG) sehingga 15 tahun mengikut seksyen 11, kita boleh masukkan ke dalam wang pindahan hasil, sekiranya lepas 15 tahun 20 tahun dah masuk ke akaun hasil pun ada waris datang menuntut, kita akan bayar juga, tidak ada masalah.

“Dalam seksyen 9 ini juga wang yang dikutip masuk dalam akaun yang dijaga oleh kerajaan , kalau ada waris bawa dokumen yang menguatkan hujah bahawa mereka berhak untuk menuntut, kita akan layan mengikut tatacara prosedurnya, tak ada masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan Datuk Fauzi Ahmad Zahari (BN-Setiawangsa) di Dewan Rakyat, hari ini.

Fauzi di dalam soalannya bertanya berapakah jumlah terkini WTD dan apakah langkah yang dilaksanakan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat terhadap kewujudan wang ini.