19
Kha, Jul

#Parlimen : MP DAP Diarah Keluar Dewan

Parlimen
Typography

KUALA LUMPUR – Anggota Parlimen Cheras Tan Kok Wai daripada DAP hari ini diarah keluar dari persidangan Dewan Rakyat oleh Timbalan Yang Dipertua, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee kerana melanggar arahan.

Keputusan itu dibuat Ronald selepas Tan bangun dan mengganggu sidang dewan ketika Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr Loga Bala Mohan sedang menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya.

Loga Bala berkata beliau dimaklumkan terdapat operator pusat perjudian di kawasan Cheras menggunakan nama Tan untuk beroperasi, yang menyebabkan anggota Parlimen itu bangun dan meminta timbalan menteri berkenaan menarik balik kenyataan itu.

"Saya tak akan duduk kalau timbalan menteri tidak menarik balik fitnah yang tidak berasas. Kalau timbalan menteri berani, ulangkan kenyataan di luar dewan. Kalau tidak...penakut! Saya rela menerima cabaran di luar dewan," katanya.

Loga Bala kemudian menjelaskan kepada Dewan Rakyat bahawa beliau bukan menuduh Tan tetapi tanggapan pihak luar yang didengarinya.

Walau bagaimanapun, Ronald meminta Kok Wai membuat permohonan terlebih dahulu dan pada masa yang sama beliau mengingatkan Loga Bala agar tidak merujuk kepada sifat individu seseorang Ahli Parlimen.

Namun, Kok Wai masih tidak berpuas hati dan tetap mendesak Loga Bala menarik balik dakwaannya itu yang menyebabkab Ronald terpaksa mengarahkan Kok Wai keluar dari dewan kerana mengganggu sesi penggulungan itu secara berterusan.