#Parlimen : Larangan Bertudung Langgar Tiga Perkara Perlembagaan Persekutuan - Nazri

Parlimen
Typography

KUALA LUMPUR - Larangan bertudung terhadap pekerja wanita di bahagian kaunter hotel tidak boleh diterima atau dirunding kerana ia satu penghinaan yang melanggar tiga perkara dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Persatuan Hotel-hotel Malaysia (MAH) tidak seharusnya mempertahankan dasar yang ditetapkan pengusaha rangkaian hotel antarabangsa, tetapi sebaliknya memberitahu mereka bahawa perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan wajib dipatuhi dan dihormati bukan sahaja rakyat Malaysia tetapi juga orang luar.

“Ini bukan soal berniaga, ini soal hak asasi seseorang. Tiada kompromi. Dia (pengusaha rangkaian hotel antarabangsa) orang luar dan dia datang ke negara kita, jadi mungkin dia tak tahu. Mungkin dia tak faham tentang budaya kita, tapi adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai orang Malaysia untuk beritahu dia.

“Perlembagaan kita tidak membenarkan (pelaksanaan larangan bertudung berkenaan), takkan itu pun kita rakyat Malaysia tak boleh beritahu, ia melanggar perlembagaan,” katanya sewaktu menggulung Rang Undang-undang (RUU) Pembekalan 2018 peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya di Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, Mohamed Nazri berkata, larangan berkenaan melanggar Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan iaitu Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.

Ia juga melanggar Perkara 8(2) iaitu tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina dalam mana-mana undang-undang atau dalam pelantikan kepada apa-apa jawatan atau pekerjaan.

Mohamed Nazri berkata, larangan tersebut turut bertentangan dengan Perkara 11(1) iaitu tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya.

“Mana boleh, ini nak runding apa lagi? nak hina perlembagaan? Tidak ada ruang untuk perundingan, saya percaya kalau nak pinda (Perlembagaan Persekutuan) semata-mata larang orang pakai tudung, ia tak akan lulus, tak akan sampai sini (Parlimen),” katanya.

Baru-baru ini, sebuah portal berita melaporkan pendedahan Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (Uni-MLC) mengenai aduan kakitangan hotel kepada pusat itu berkaitan diskriminasi terhadap pekerja wanita Islam yang diarah menanggalkan tudung.

Laporan itu turut memetik Presiden MAH, Cheah Swee Hee yang mempertahankan tindakan hotel melarang wanita Islam bertudung bekerja di bahagian khidmat pelanggan sebagai sebahagian dasar antarabangsa.