#Parlimen : Pemilihan Kontraktor Mesti Melalui Tender Terbuka - PAC

Parlimen
Typography

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menegaskan, pemilihan kontraktor bagi projek kerajaan termasuk pembinaan sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA) perlu dilakukan melalui proses tender terbuka.

 

Menurut Pengerusinya, Datuk Seri Hasan Arifin, projek berkenaan juga mesti dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raja (JKR), malah proses panggilan tender juga seharusnya dilakukan hanya setelah mendapat kelulusan Kebenaran Merancang daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengelakkan sebarang masalah di tapak.

“Tindakan lebih tegas perlu diambil terhadap kontraktor, juruperunding dan pembekal sekiranya mereka gagal untuk membekal atau memasang komponen projek terutama komponen yang memberi kesan terhadap fungsi projek itu.

“Selain itu, kontraktor dan juruperunding yang gagal melaksanakan projek seperti dalam tender perlu disenaraihitamkan sebagai pengajaran kepada kontraktor lain,” katanya dalam satu kenyataan yang diedarkan di bangunan Parlimen hari ini.

PAC mengadakan mesyuarat prosiding pada 18 Mac lalu dengan memanggil Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Alias Ahmad bagi menjelaskan isu-isu berkaitan pengurusan projek-projek pembinaan SMKA yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2014 Siri 3 yang dibentangkan di Parlimen pada 23 November 2015.

Isu-isu yang dibangkitkan termasuk Surat Setuju Terima lewat dikeluarkan, kontrak lewat ditandatangani, reka bentuk pembinaan tidak praktikal dan kualiti kerja pembinan tidak memuaskan.

Hasan menambah, berdasarkan mesyuarat prosiding berkenaan, PAC merumuskan bahawa projek pembinaan SMKA yang dilaksanakan secara rundingan terus atau tender terhad dan dipantau oleh juruperunding menghadapi masalah.

“Juruperunding gagal memastikan kontraktor mematuhi reka bentuk yang disediakan seperti dalam kes sesalur lif tidak mengikut saiz,” jelasnya.

 

Beliau memberitahu, syarikat perunding juga tidak mempunyai kakitangan berpengalaman di tapak projek bagi tujuan pemantauan menyebabkan banyak kerja-kerja dilaksanakan tidak mengikut spesifikasi.