#Parlimen : Langkah Perkenal Semula Sekolah Aliran Inggeris Perlu Perbincangan Menyeluruh – Timb Menteri

Parlimen
Typography

KUALA LUMPUR - Langkah untuk memperkenalkan semula sekolah aliran Inggeris di negara ini memerlukan penyelidikan dan perbincangan yang menyeluruh sebelum dilaksanakan, kata Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Chong Sin Woon.

 

Beliau berkata ia menjadi topik utama yang akan dibincangkan secara terperinci dengan mengambil kira pertimbangan dan pandangan Penasihat Undang-undang kementerian dan pihak-pihak berkaitan.

"Sekolah aliran Inggeris telah ditukarkan kepada sekolah-sekolah aliran Melayu iaitu selepas kita mempunyai Akta Pendidikan. Di bawah akta tersebut, kita hanya mempunyai sekolah aliran Cina dan Tamil di peringkat sekolah rendah.

"Mungkin sesetengah pihak meminta supaya sekolah aliran Inggeris diwujudkan kembali, pada akhirnya, mungkin pihak lain tidak bersetuju, jadi kita perlu bersikap terbuka dan berbincang," kata beliau kepada pemberita ketika ditemui pada 'Pesta Buah-buahan Tempatan' di bangunan Parlimen hari ini.

Bagaimanapun, Chong berkata kerajaan di bawah Kementerian Pendidikan mempunyai rancangan pembangunan yang jelas untuk memperbaiki dan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar.