#MQT : Bintang FC Barcelona Lawat Malaysia Tahun Hadapan - Nazri

Parlimen
Typography

KUALA LUMPUR - Tourism Malaysia telah mendapat hak ekslufif menggunakan penyerang kelab FC Barcelona, Luis Suarez yang amat popular di kalangan peminat bola sepak di rantau Asia khususnya di Indonesia dan China.

Menurut Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz, pengaruh Suarez yang mempunyai pengikut seramai 25.3 juta di Instagram, 18.9 juta di Facebook dan 12.4 juta di Twitter boleh digunakan untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan kepada peminat bola sepak di seluruh dunia.

“Melalui kempen pengiklanan ini, Tourism Malaysia boleh menggunakan bintang bola sepak ini bagi mempromosikan destinasi pelancongan menarik di Malaysia khusus kepada bintang dan peminat bola sepak dari seluruh dunia melalui media sosial beliau.

“Melalui kempen pengiklanan Tourism Malaysia dengan kerjasama Mediapro Asia, mesej mengenai melawat Malaysia di 90 skrin LED yang terdapat di 18 buah stadium yang melibatkan perlawanan la liga musim 2017/2018.

“Mesej ini juga akan dipaparkan di 30 skrin digital board replacement (DBR) disiarkan di China, Hong Kong, Taiwan, Macau dan di negara lain di rantau asia yang melibatkan pasukan Real Madrid dan FC Barcelona,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Hee Loy Sian (PKR-Petaling Jaya Selatan) pada waktu pertanyaan-pertanyaan menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Untuk rekod, jumlah penonton bola sepak Sepanyol (La Liga) di Asia adalah sebanyak 225 juta manakala di China sebanyak 445 juta penonton dan di Eropah sebanyak 72.4 juta penonton.

Menurut Nazri lagi, kempen pengiklanan ini melibatkan perbelanjaan sebanyak RM7.5 juta.

“RM3.1 juta adalah kos pembikinan 4 video berdurasi 60 saat bagi Luis Suarez mempromosikan destinasi pelancongan, budaya, makanan dan sukan tradisional Malaysia melalui akaun sosial beliau dan Tourism Malaysia.

“Dan negara ini akan menjadi destinasi percutian beliau tahun hadapan selepas tamat Piala Dunia,” katanya.