#Parlimen : Kerajaan Laksana Inisiatif Pulihara Kawasan Hutan - Hamim

Parlimen
Typography

KUALA LUMPUR - Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia telahpun melaksanakan langkah-langkah dalam usaha pemuliharaan kawasan hutan akibat penerokaan, Dewan Rakyat diberitahu.

Menurut Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Ir Hamim Samuri, antara langkah yang dilaksanakan adalah melalui pelaksanaan Program Pemulihan Kawasan Hutan Terosot yang telah dirangka bagi memastikan pemuliharaan kawasan hutan simpanan kekal yang terosot di negeri-negeri di semenanjung malaysia.

“Di bawah RMK-10, seluas 4,477 hektar kawasan terosot dalam hutan simpanan kekal berjaya ditanam dengan pelbagai sepsis pokok.

“Dan dalam RMK-11, sebanyak RM100 juta telah diluluskan untuk memulihkan kawasan seluas 1,640 hektar dalam hutan simpan kekal dan juga luar hutan simpan kekal.

“Peruntukan ini juga digunakan bagi membiayai kos penyelidikan dan pembangunan, bantuan kepada badan bukan kerajaan dan juga program kempen kesedaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Datuk Ahmad Nazlan bin Idris (BN-Jerantut) di Dewan Rakyat, hari ini.