#Parlimen : Laporan RCI Skandal Forex Dibentang

Parlimen
Typography

KUALA LUMPUR - Laporan penemuan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap skandal forex Bank Negara Malaysia telah dibentangkan di Parlimen, hari ini.

Laporan sebanyak kira-kira 400 halaman itu berada di meja ahli-ahli parlimen hari ini, iaitu hari terakhir persidangan Dewan Rakyat.

Buku laporan itu bertajuk Suruhanjaya Siasatan Untuk Menyiasat Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing Oleh Bank Negara Sekitar Tahun 1990 an.

Skandal Forex dianggarkan sehingga RM30 bilion itu berlaku ketika Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

RCI ditubuhkan untuk menentukan kebenaran dakwaan mengenai kerugian tukaran mata wang asing yang ditanggung oleh Bank Negara dan implikasinya terhadap ekonomi negara.

Laporan berkenaan sudah dipersembahkan kepada Yang Di Pertuan Agong, Sultan Muhammad V oleh Pesuruhjaya RCI terdiri daripada Tan Sri Mohd Sidek Hassan Md Said, Datuk Seri Tajuddin Atan, Tan Sri Saw Choo Soon dan P. Kanagarayar pada 13 Oktober lalu.

Suruhanjaya yang ditubuhkan kerajaan sebelum ini menjalankan pendengaran bagi memutuskan sama ada terdapat percubaan untuk menyembunyikan fakta dan maklumat mengenai kerugian, termasuk pengeluaran kenyataan oleh pegawai tinggi yang dikatakan telah mengelirukan kabinet, Parlimen dan orang awam.

Seramai 25 saksi – termasuk Dr Mahathir, bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin – memberi keterangan pada pendengaran selama lapan hari.