#Parlimen : KPKT Tidak Sokong 11 Projek Pembangunan di P.Pinang - Noh

Parlimen
Typography

KUALA LUMPUR – Sejak 2008 sehingga kini, PLANMalaysia Pulau Pinang tidak menyokong malah menolak sebanyak 11 daripada 17 projek pembangunan yang dirancang oleh kerajaan negeri itu.

Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar, kerajaan Negeri Pulau Pinang gagal mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh PLANMalaysia Pulau Pinang dengan alasan mempunyai garis panduannya sendiri.

 “Sebanyak 30 permohonan projek pembangunan antara 2008 hingga 2017 yang menyebabkan perubahan cerun dan kepadatan densiti dan kawasan tanah di Pulau Pinang.

“17 daripadanya telah diluluskan oleh Kerajaan Pulau Pinang, kerajaan negeri mempunyai hak meluluskan sesuatu projek di negeri mereka,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Liang Teck Meng (BN-Simpang Renggam) yang meminta KPKT menyatakan mengikut data Kementerian jumlah permohonan pembangunan tanah bukit di Pulau Pinang telah diluluskan.

Jelas Noh, PLANMalaysia telah menyediakan satu garis panduan pembangunan di kawasan bukit dan tanah tinggi pada tahun 2009 untuk digunapakai oleh semua negeri di Malaysia.

“Bagaimanapun Pulau Pinang telah menggunakan garis panduan mereka sendiri yang dikeluarkan pada 2012 bagi menyesuaikan bentuk muka bumi di negeri mereka,” katanya.

Pada masa sama, Noh juga menjelaskan bahawa setiap pembangunan yang dirancang mestilah dipamerkan untuk tujuan pendengaran awam.

“Mengikut Akta Perancangan Bandar dan Desa, Akta 176 bahawa pameran dan pendengaran awam mestilah dilakukan dalam tempoh 21 hari.

“Ertinya, dalam masa 21 hari dimana jiran-jiran tanah yang berdekatan projek yang bakal dibina itu boleh membuat bantahan.

“Apabila bantahan dibuat, maka pihak PBT hendaklah memberi pertimbangan sama ada mereka menolak atau menerima bantahan tersebut,” katanya.