RCI Kerugian Forex Syor Polis Siasat Mahathir dan Anwar

Parlimen
Typography

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kerugian urus niaga mata wang asing (Forex) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) Sekitar Tahun 1990-an mengesyorkan agar pihak polis menjalankan siasatan terhadap semua pihak yang terlibat termasuk bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas menteri kewangan Datuk Seri Dr Anwar Ibrahim dan kakitangan BNM.

Ia bagi menentukan samada terdapat kemungkinan berlaku kesalahan pecah amanah dalam urusan tersebut.

RCI itu turut mengesyorkan agar siasatan dijalankan terhadap ahli lembaga pengarah BNM, Jabatan Audit Negara dan Kementerian Kewangan.

"Suruhanjaya berpendapat daripada fakta yang diberikan kepada inkuiri terdapat asas untuk mencadangkan polis menjalankan siasatan rasmi terhadap kemungkinan berlakunya jenayah pecah amanah dan atau penipuan yang mungkin dilakukan oleh kakitangan BNM, ahli lembaga pengarah BNM, Jabatan Audit Negara, menteri kewangan dan perdana menteri dalam menjalankan urusniaga spekulasi forex dan menyembunyikan kerugian forex daripada pengetahuan Kabinet dan Parlimen," kata syor laporan itu di muka surat 300.

Skandal Forex dianggarkan mengalami kerugian sehingga RM30 bilion berlaku ketika zaman pemerintahan Mahathir sebagai perdana menteri.

Justeru itu RCI ditubuhkan untuk menentukan kebenaran dakwaan mengenai kerugian tukaran mata wang asing yang ditanggung oleh Bank Negara dan implikasinya terhadap ekonomi negara.

Laporan berkenaan sudah dipersembahkan kepada Yang Di Pertuan Agong, Sultan Muhammad V oleh Pesuruhjaya RCI terdiri daripada Tan Sri Mohd Sidek Hassan Md Said, Datuk Seri Tajuddin Atan, Tan Sri Saw Choo Soon dan P. Kanagarayar pada 13 Oktober lalu.

RCI itu juga dibentuk bagi memutuskan sama ada terdapat percubaan untuk menyembunyikan fakta dan maklumat mengenai kerugian, termasuk pengeluaran kenyataan oleh pegawai tinggi yang dikatakan mengelirukan Kabinet, Parlimen dan orang awam.

Seramai 25 saksi termasuk Mahathir, Anwar , dan bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin dipanggil memberi keterangan di hadapan panel suruhanjaya yang bersidang selama 8 hari.

Selain itu, sebanyak 42 dokumen juga dikemukakan semasa prosiding.