#Parlimen : Laporan RCI Tidak Akan Dibahas - Timb Speaker

Parlimen
Typography

KUALA LUMPUR - Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap skandal forex Bank Negara Malaysia yang dibentang di Parlimen hari ini, tidak akan dibahaskan.

Menurut Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Ismail Mohamad Said, ia kerana perkara tersebut tiada di dalam Aturan Mesyuarat.

Namun begitu ujar beliau, terpulang kepada pihak kerajaan samada untuk membolehkan ia dibahas atau tidak kerana urusan mesyuarat Dewan tertakluk kepada kerajaan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pencelahan Lim Guan Eng (DAP-Bagan) mengenai buku laporan RCI skandal forex yang diedarkan kepada ahli-ahli Parlimen di Dewan Rakyat, hari ini.

Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang mahu tahu sama ada kerajaan bersedia membahaskan laporan tersebut.

“Terpulang kepada kerajaan. Menteri akan jawab selepas dapat jawapan daripada kerajaan. Sekarang belum ada dalam aturan mesyuarat,” kata Ismail.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said kemudian menjelaskan bahawa beliau perlu masa bagi menjawab perkara itu dan meminta Lim menghantar surat secara bertulis mengenai pertanyaannya itu.

“Beri masa saya menjawab secara bertulis. Kena selesai dahulu Rang Undang-Undang sedia ada. Saya akan maklum pada Yang Berhormat selepas dapat surat nanti,” katanya.