Laporan RCI Forex: Anwar Kelirukan Kabinet dan Parlimen

Parlimen
Typography

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat kerugian urus niaga mata wang asing (Forex) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) mendapati Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanggungjawab mengelirukan Kabinet dan Parlimen mengenai kerugian sebenar tukaran wang asing yang ditanggung BNM.

Laporan itu mendedahkan, Anwar membuat keputusan berkenaan pengolahan perakaunan bagi untung rugi, jual beli saham dan pengeluaran surat jaminan bagi membolehkan Ketua Audit Negara mengeluarkan sijil audit bersih bagi Laporan Tahunan BNM 1993.

Menurut laporan itu, dengan mengemukakan laporan tahunan kepada Kabinet dan tidak mendedahkan perihal sebenar, Anwar dengan sengaja menyebabkan Kabinet meluluskan Laporan Tahunan 1993 untuk diwartakan dan dikemukakan kepada Parlimen.

"Pemberian gambaran yang salah ini meliputi memaklumkan kepada Kabinet pada 6 April 1994 terdapat 'kerugian atas kertas RM9 bilion dalam tahun 1992'. Sungguhpun beliau mengetahui kerugian sebenar urus niaga forex pada 1992 adalah RM12.353 bilion seperti tercatat dalam surat Tan Sri Ishak Tadin kepada beliau.

"Kabinet mengambil maklum bahawa BNM sepatutnya boleh dipuji kerana berjaya mengurangkan kerugian dalam urus niaga pertukaran mata wang asing daripada RM9 bilion kepada RM5.7 bilion.

"Adakah Kabinet akan meluluskan Laporan Tahunan itu jika tidak dikelirukan adalah menjadi persoalan fakta yang perlu disiasat seterusnya. Terdapat keperluan bagi siasatan lanjut sama ada 'penipuan' itu menyebabkan atau besar kemungkinan menyebabkan kerosakan atau kemudaratan kepada sesiapa sahaja dari segi tubuh, minda, reputasi atau harta," menurut laporan itu.