Dewan Negara Tangguh, Lulus 13 RUU

Parlimen
Typography

KUALA LUMPUR - Persidangan Dewan Negara bagi mesyuarat ketiga penggal kelima Parlimen ke-13 ditangguhkan hari ini selepas bersidang selama 10 hari dan meluluskan 13 Rang Undang-Undang (RUU).

Ia meliputi RUU Perbekalan 2018, RUU Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) (Pindaan) 2017, RUU Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) (Pindaan) 2017, RUU Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) 2017, RUU Kewangan (No.2) 2017, RUU Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan (Pindaan) (No.2) 2017, RUU Cukai Pendapatan (Pindaan) 2017, RUU Dadah Berbahaya (Pindaan) 2017 dan RUU Timbang Tara (Pindaan) 2017.

Sidang Dewan Negara turut meluluskan RUU Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Warga Emas Swasta 2017, RUU Pusat Jagaan (Pindaan) 2017, RUU Industri Pelancongan (Pindaan) 2017, RUU Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Pindaan) 2017

Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri S.A. Vigneswaran pada akhir persidangan berkata beliau bangga dengan prestasi yang ditunjukkan anggota dewan yang disifatkannya bertanggungjawab dan mengikut semua peraturan ditetapkan.

Pada masa yang sama, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada tiga senator yang telah menamatkan tempoh perkhidmata mereka iaitu Datuk Lihan Jok, Datuk Yoo Wei How dan Datuk Zali Mat Yasin manakala Senator Datuk Kadzim M. Yahya akan menamatkan tempoh perkhidmatan pada 21 Dis.

Tempoh perkhidmatan Senator Abdul Shukor Mohd Sultan pula akan tamat 24 April 2018.

 

Persidangan dewan ditangguhkan sehingga ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian. -- BERNAMA