21
Kha, Jun

#Parlimen : Azeez Rahim Tuntut Guan Eng Tarik Semula Fitnah

Parlimen
Typography

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim telah mengarahkan peguamnya untuk menghantar surat tuntutan saman kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Ia susulan tindakan Guan Eng yang memfitnahnya berhubung isu terowong dasar laut di Pulau Pinang menerusi laporan berita yang disiarkan oleh media.

“Saya merasakan ini satu perkara dahsyat yang telah fitnah, malah cuba hasut rakyat untuk memastikan kes terowong yang sedang berlaku ini dikelirukan sehinggakan saya terpalit dalam apa yang dinyatakan hari ini.

“Saya telah mengarahkan peguam saya untuk hantar tuntutan kepada Guan Eng,” katanya kepada wartawan di Parlimen hari ini.

Menurut Abdul Azeez yang juga Pengerusi Lembaga Tabung Haji, surat tuntutan tersebut sudah dihantar ke pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang dan juga kediaman Ketua Menteri, petang semalam. 

“Dalam tuntutan saman yang telah dihantar oleh peguam saya kepada Ketua Menteri Pulau Pinang adalah beliau menarik balik semua kata-kata fitnah terhadap saya dan parti keramat UMNO dan Tabung Haji dan juga rakyat Baling.

“Saya juga telah meminta beliau akujanji untuk tidak mengulangi kata-kata fitnah sedemikian rupa terhadap saya

“Dan seterusnya saya meminta memberi saya senarai dari mana beliau mendapat sumber maklumat jika beliau ada,” katanya.

Menurutnya lagi, tindakan Guan Eng itu berniat jahat dan cuba mengelirukan rakyat dengan mengaitkan UMNO dan Tabung Haji dalam isu pembinaan terowong dasar laut itu.

Untuk rekod, sebelum ini syarikat kontraktor, Konsortium Zenith Construction Sdn Bhd telah memohon maaf dan menarik balik tuduhan rasuah ke atas Abdul Azeez berhubung projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Syarikat tersebut juga berjanji akan berusaha untuk membersihkan semula nama ahli Parlimen Baling itu.