16
Kha, Ogs

#Parlimen : Masalah Air di Selangor Lebih Kritikal Dari Hutang Negara - PM

Parlimen
Typography

KUALA LUMPUR - Masalah bekalan air di Selangor lebih kritikal daripada hutang negara, ujar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ini kerana katanya hutang negara sememangnya diuruskan dengan baik sehingga menyaksikan jumlahnya semakin menguncup.

Selain itu jelas Najib yang juga Menteri Kewangan, kemampuan Malaysia untuk membayar semula hutang juga tidak boleh dipersoalkan kerana badan penarafan antarabangsa telah meletakkan Malaysia dalam kategori A.

“Soal hutang negara memang diuruskan dengan baik kerana dari segi peratusan hutang negara peratusan daripada KDNK telah dikurangkan daripada 55% kepada 50.8%.

“Maknanya hutang negara dari segi jumlah keseluruhannya semakin menguncup.

“Soalnya bukan sangat saiz hutang, tapi kemampuan kita membayar balik (hutang). Jadi kita ada kemampuan untuk membayar balik yang tidak boleh dipersoalkan kerana badan penarafan antarabangsa telah meletakkan Malaysia dalam kategori A.

“Jadi maknanya kewangan negara kita termasuk hutang negara kita memang diuruskan dengan baik dengan harapan masalah air di Selangor juga akan diselesaikan dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak) pada waktu pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Selain itu katanya, tuduhan pembangkang kononnya Malaysia negara yang bankrap adalah satu pembohongan yang jelas.

“Apa yang mereka kata itu tidak ada asas. Mesti berasaskan kepada fakta. Apa yang saya katakan di dalam dewan ini adalah berasaskan kepada fakta yang telahpun disahkan oleh badan-badan seperti IMF dan sebagainya.

“Jadi kalau ada pihak kata Malaysia ini bankrap, itu adalah satu pembohongan yang jelas,” katanya.