16
Kha, Ogs

#Parlimen : NHRAP Angkat Martabat Malaysia - Azalina

Parlimen
Typography

KUALA LUMPUR - Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (NHRAP) yang dilancarkan awal bulan lalu bukan sahaja mampu melindungi hak asasi manusia di negara ini, malah turut mengangkat martabat negara di pesada antarabangsa.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, secara amnya NHRAP merupakan dokumen awam yang menyenaraikan pelbagai isu hak asasi manusia di Malaysia serta menggariskan pelan tindakan terperinci untuk dilaksanakan dalam mempromosi dan melindungi hak asasi manusia di negara ini. 

Berdasarkan keterlibatan ekstensif semua pihak-pihak berkepentingan katanya, NHRAP Malaysia berjaya dibangunkan dengan 294 pelan tindakan yang merangkumi 83 isu keutamaan. 

“Untuk makluman, YAB Perdana Menteri semasa melancarkan NHRAP pada 1 Mac 2018, telah mengumumkan tiga mekanisme penting, sebagai kick-off kepada pelaksanaan NHRAP iaitu,

“Pertama, Kerajaan bersetuju untuk membangunkan suatu Mobile App bagi tujuan mendapatkan maklum balas daripada rakyat, terhadap pelaksanaan NHRAP. Kemudahan ini akan menggalakkan penyertaan awam yang lebih berkesan, dalam memastikan pelaksanaan dan penambahbaikan NHRAP dari masa ke semasa.

“Kedua, kerajaan juga telah bersetuju untuk menubuhkan satu High Level Committee atau Jawatankuasa Peringkat Tertinggi, yang bertanggungjawab bagi memantau pelaksanaan NHRAP. Jawatankuasa ini akan memantau pelaksanaan NHRAP dengan berkesan dan memastikan sebarang isu berkaitan hak asasi manusia dapat diberi perhatian sebaiknya dari peringkat akar umbi demi manfaat rakyat.

“Ketiga, melantik pihak berkecuali yang bersesuaian, antaranya daripada kalangan civil society organisation atau organisasi masyarakat sivil dan ahli akademik, bagi mengumpul serta menganalisis maklum balas awam yang diterima terhadap pelaksanaan NHRAP. 

“Maklum balas awam ini akan dilaporkan kepada Jawatankuasa Peringkat Tertinggi yang akan ditubuhkan supaya dapatan berkenaan dapat diberi perhatian dalam proses pemantauan dan penilaian NHRAP bagi tujuan penambahbaikan berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Datuk Mohd Zaim Abu Hasan (BN-Parit) pada waktu pertanyaan-pertanyaan menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.