#Parlimen : NHRAP Sedia Lebih Ruang Suarakan Hak Asasi Manusia - Azalina

Parlimen
Typography

KUALA LUMPUR - Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (National Human Rights Action Plan NHRAP) yang diperkenalkan kerajaan hari ini akan menyediakan ruang yang lebih terbuka kepada rakyat untuk menyuarakan pendapat mengenai perkara-perkara berkaitan hak asasi manusia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata keadaan itu jauh berbeza berbanding era seorang bekas perdana menteri yang memerintah negara selama 22 tahun tetapi tidak menyediakan ruang seperti itu, malah melaksanakan tahanan tanpa bicara.

"Tetapi hari ini dengan adanya NHRAP, dengan perubahan undang-undang yang telah dibuat oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak), menunjukkan ini (NHRAP) adalah roadmap," katanya pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Hee Loy Sian (DAP-Petaling Jaya Selatan) yang bertanyakan kenapa laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia tidak dibentangkan di Parlimen.

NHRAP merupakan dokumen awam yang menyenaraikan pelbagai isu hak asasi manusia di Malaysia serta menggariskan pelan tindakan terperinci untuk dilaksanakan dalam mempromosi dan melindungi hak asasi manusia di negara ini. NHRAP dilancarkan perdana menteri pada 1 Mac lalu.