23
Sel, Okt

#Parlimen : Pusat Bandar Kawasan Awal Laluan Basikal - Timb Menteri

Parlimen
Typography

KUALA LUMPUR - Pembinaan Laluan Basikal di Kuala Lumpur peringkat awal akan ditumpukan di pusat bandar dan beberapa kawasan perumahan yang berdekatan dengan stesen transit, Dewan Rakyat diberitahu.

Menurut Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk M.Loga Bala, antara kawasan-kawasan tersebut adalah seperti Setiawangsa, Wangsa Maju, Bandar Tun Razak dan Taman Tun Dr Ismail.

Katanya, kos pembinaan keseluruhannya memperuntukkan RM15.5 juta, di mana daripada jumlah tersebut, hanya RM5 juta telah diperuntukkan pada peringkat awal.

“Kemudahan ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan dari semasa ke semasa, semua kerja-kerja ini akan ditawarkan secara tender terbuka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang) di Dewan Rakyat, hari ini.

Kui Lun di dalam soalannya meminta kerajaan menyatakan butiran tentang projek pembinaan laluan basikal di Kuala Lumpur serta peruntukan yang diluluskan dan adakah pemberian kontrak dibuat secara tender terbuka serta bagaimana sambutannya setakat ini.

Jelas Loga, beberapa langkah telah diambil bagi tujuan keselamatan antaranya memasang pemisah laluan basikal yang lebih selamat bagi menggantikan alat lama yang dikatakan berbahaya kepada pengguna jalan.

Pemisah jenis ‘flexipoles’, tiang plastik berbentuk silinder dan mempunyai jaluran pantulan cahaya yang banyak digunakan untuk membahagikan laluan di jalan raya di Malaysia, dilihat lebih sesuai menggantikan pemisah getah berkenaan.

Sebelum ini Pengarah Eksekutif Pengurusan Projek Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Mahadi Che Ngah, berkata sebagai permulaan pemisah baharu itu akan dipasang di kawasan kritikal sebelum digunakan di sepanjang 11.9 kilometer laluan khas berkenaan.