21
Kha, Jun

#Parlimen : Kebocoran Data Peribadi, Siasatan Sedang Berjalan - Jailani

Parlimen
Typography

KUALA LUMPUR - Kerajaan sememangnya memandang serius isu ketirisan dan penyalahgunaan data peribadi, Dewan Rakyat diberitahu.

Menurut Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari, susulan daripada beberapa kejadian kebocoran data peribadi termasuk yang melibatkan 46.2 juta pelanggan nombor telefon mudah alih baru-baru ini, pihak berkuasa masih menjalankan siasatan mengenainya.

“Pihak PDRM, SKMM, Jabatan Perlindungan Data Peribadi dan Jabatan Peguam Negara dengan koordinasi berpusat oleh Agensi Keselamatan Cyber Negara telah bekerjasama dalam menjalankan siasatan di bawah Seksyen 4 Akta Jenayah Komputer 1997 dan Seksyen 130 Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

“Siasatan bagi kes-kes sedang dan masih berjalan sehingga kini, saksi-saksi yang dikenalpasti sudah dipanggil oleh PDRM bagi membantu siasatan,” katanya.

Tambah Jailani, hasil siasatan akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Teo Nie Ching (DAP-Kulai) di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya lagi, bagi tahun 2017 sebanyak tiga kes pendakwaan dan denda telah dikenakan.

Sementara bagi tahun 2018 pula katanya sudah terdapat lima kes sehingga kini.

Selain itu katanya, antara langkah yang diambil kerajaan bagi menangani isu ini ialah pelaksanaan aktiviti penguatkuasaan seperti pemantauan berkala dengan mengadakan pemeriksaan Sistem Perlindungan Data Peribadi.

“Selain daripada itu kita adakan program kesedaran melalui penganjuran seminar di seluruh negara selain membuat promosi dan publisiti,” katanya.