14
Jum, Dis

#Parlimen : E-Dagang Sumbang Pertumbuhan Ekonomi Negara - Ahmad Maslan

Parlimen
Typography

KUALA LUMPUR - Sektor e-dagang telah mencatat pertumbuhan yang ketara kebelakangan ini dari segi sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi negara, ujar Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan.

Katanya, data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan sumbangan e-dagang kepada KDNK telah meningkat kepada 6.1 peratus iaitu 74.6 bilion pada tahun 2016 berbanding 5.9 peratus atau 68.3 bilion pada tahun sebelumnya.

Justeru itu ujar beliau, bagi memastikan sektor e-dagang terus berkembang, kerajaan telah melaksanakan Pelan Halatuju Strategik E-Dagang Kebangsaan (NESR) sejak Oktober 2016.

“Pelan halatuju ini telah menetapkan sasaran untuk menggandakan kadar pertumbuhan e-dagang di Malaysia daripada 10.8 peratus pada tahun 2016 kepada 20.8 peratus menjelang 2020.

“Kadar pertumbuhan ini akan menyumbang lebih 211 bilion nilai KDNK berbanding sasaran awal yang ditetapkan di bawah RMK-11 sebanyak 114 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Rubiah binti Haji Wang (BN-Kota Samarahan) di Dewan Rakyat, hari ini.