25
Sel, Sep

#Parlimen : MARA Digital Mall Catat Jualan Terkumpul RM37.7 Juta - Timb Menteri

Parlimen
Typography

KUALA LUMPUR - Jumlah jualan terkumpul di seluruh MARA Digital setakat bulan Januari 2018 adalah sebanyak RM37.7 juta, Dewan Rakyat diberitahu.

Manakala rekod pengunjung yang datang ke seluruh MARA Digital setakat Januari 2018 pula ujar Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi adalah sebanyak 2 juta orang.

“Sesungguhnya seperti pasaran kompetitif, memang ada produk yang dijual harganya murah sedikit dan ada juga yang harganya sama seperti di tempat lain.

“Ini kerana di negara kita kebanyakan produk-produk teknologi ini dibekalkan oleh pembekal yang sememangnya sudah establish. Jadi di situ terletaknya harga tetap.

“Cuma kelebihan (MARA Digital) adalah di mana margin boleh ditentukan seperti sewa yang lebih murah dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Budiman Mohd Zohdi (BN-Sungai Besar) pada waktu pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan, hari ini.

Jelasnya lagi, jumlah keseluruhan lot yang ditawarkan MARA Digital adalah sebanyak 109 lot yang telah dimanfaatkan oleh 89 usahawan.

Untuk rekod, jumlah MARA Digital yang telah dibuka setakat ini ialah sebanyak empat buah iaitu MARA Digital Menara MARA Kuala Lumpur, MARA Digital Anggerik Mall Shah Alam (Selangor), MARA Digital Ipoh (Perak) dan MARA Digital Kuantan (Pahang).