21
Kha, Jun

#Parlimen : 35 Hingga 44 Tahun Paling Ramai Bankrap - Timb Menteri

Parlimen
Typography

KUALA LUMPUR - Golongan berusia antara 35 hingga 44 tahun paling ramai bankrap iaitu 34.4 peratus daripada jumlah keseluruhan, Dewan Rakyat diberitahu.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim, ia diikuti golongan yang berusia 45 hingga 54 tahun iaitu 26.37 peratus.

Sekaligus katanya menunjukkan golongan peringkat usia 35 hingga 54 tahun mewakili 60.77 peratus yang terbabit dalam kebankrapan.

"Bawah umur 25, satu peratus; umur 25 hingga 34 (24 peratus). Orang muda yang baru bekerja antara mereka yang terbabit dalam kebankrapan kerana hutang kereta atau hutang peribadi antara penyumbang.

"Tetapi kita harap dengan nisbah yang dinaikkan RM50,000 (jumlah minimum yang boleh diambil tindakan bankrap) , tidak semudah-mudah kita boleh bankrap (orang).

"Boleh ambil langkah pencegahan awal sebelum anak muda kita ini bankrap dan kita rugi dari segi kemampuan mereka untuk menyumbang kepada pembangunan negara kita.

"Kerajaan mahu supaya rakyat kita tidak ramai yang bankrap," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Anuar Abd Manap (BN-Sekijang) berkenaan kebankrapan dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Jelas Razali, AKPK adalah di bawah Bank Negara dan mereka yang mengikuti program kaunseling di bawah agensi berkenaan sepatutnya bukan seorang bankrap.

Di bawah AKPK katanya terdapat program kaunseling dan pengurusan hutang.

"Kalau ikut statistik lebih 600,000 orang di bawah program untuk kaunseling dan lebih 200,000 yang terbabit dalam pengurusan hutang.

"Bagaimanapun, yang penting mereka bukan bankrap. Itu perkara utama yang saya kena betulkan," katanya.

Secara keseluruhannya ujar beliau, sejumlah 300,958 orang diisytiharkan bankrap ketika ini.