26
Rab, Sep

#Parlimen : RUU Kesaksamaan Gender Imbangi Peranan Lelaki dan Wanita - Rohani

Parlimen
Typography

KUALA LUMPUR - Keperluan mewujudkan Akta Kesaksamaan Gender dilihat amat perlu bagi mengimbangi peranan lelaki dan wanita di dalam pembangunan negara, ujar Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Katanya, cadangan untuk menggubal RUU tersebut adalah selaras dengan komitmen dan keahlian Malaysia dalam Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW).

“Undang-undang ini akan membantu menghapuskan diskriminasi dan menegakkan kesaksamaan sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Penggubalan akta ini dijangka dapat merapatkan ketidaksamaan gender yang wujud antara wanita dan lelaki dengan memasukkan prinsip-prinsip CEDAW ke dalam undang-undang di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Datuk Normala Abdul Samad (BN-Pasir Gudang) pada waktu pertanyaan-pertanyaan menteri (MQT), hari ini.

Menurutnya lagi, fenomena seperti penglibatan yang rendah dalam kalangan wanita di peringkat kepimpinan, stereotaip dan pengasingan pekerjaan dalam bidang professional, gaji yang tidak seimbang dan sebagainya dapat ditangani dengan penggubalan akta ini.